Khamis, 25 Disember 2014

' Nilai ringgit jatuh, kerajaan Umno-BN terus bohongi rakyat’



DETIK DAILY



KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno-BN amat tidak bertanggungjawab apabila masih gagal m
elakukan tindakan wajar yang tidak membebankan rakyat bagi menghadapi krisis ekonomi, malah sanggup membohongi rakyat dengan mengatakan penyusutan nilai ringgit tidak menjejaskan ekonomi negara.

Pada hal, kejatuhan nilai ringgit pasti memberikan kesan buruk kepada rakyat dan negara kerana ia pasti akan menyebabkan harga barang-barang turut naik terutama barangan import termasuk besi dan kenderaan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, ini bermaksud, apabila nilai ringgit turun, harga barang akan naik dan keadaan ini pasti akan menjadi bertambah parah kepada rakyat apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai April tahun depan.

Menurut beliau, lebih mencemaskan lagi apabila kejatuhan nilai ringgit berlaku ketika situasi ekonomi dunia turut berada dalam keadaan tidak menentu seperti sekarang akibat penurunan harga minyak yang pasti akan mengurangkan pendapatan kerajaan.

“Dengan suasana yang tidak menyenangkan sekarang, saya khuatir jika GST yang akan dilaksanakan tahun hadapan akan dinaikkan lagi kadarnya daripada enam peratus kepada kadar yang lebih tinggi dalam masa terdekat kerana kerajaan kurang pendapatan,” katanya ketika dihubungi

Tindakan seperti itu, menurut beliau, tidak mustahil dilakukan oleh kerajaan Umno-BN walaupun akan lebih membebankan rakyat memandangkan pihak kerajaan sendiri tidak melakukan sebarang tindakan sewajarnya bagi menghadapi krisis ekonomi mulai sekarang.

“Ini terbukti apabila sehingga sekarang pun kerajaan masih lagi kekal dengan sikapnya yang membazir dan boros membelanjakan wang negara, seolah-olah tiada apa yang merisaukan kepada para pemimpin kerajaan Umno-BN,” ujarnya.

Keadaan itu, katanya, amat berbeza berbanding tindakan yang dilakukan oleh negara-negara lain termasuk Australia dan Britain yang bertindak pantas sehingga membuat ‘adjustment’ terhadap angka-angka belanjawannya mengikut situasi sekarang.

“Dengan tidak mengumumkan apaapa langkah yang akan dilakukan bagi menangani krisis ekonomi sekarang, kerajaan Umno- BN terus membohongi rakyat sekali lagi kerana ingin memberikan gambaran tiada apa yang berlaku yang perlu dirisaukan oleh rakyat, walaupun rakyat sendiri sudah tahu perkara sebenar,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, rakyat yang masih belum tahu dengan keadaan ekonomi sekarang pasti akan tahu juga nanti apabila kesannya semakin dirasai dari sehari ke sehari.

“Akhirnya nanti kerajaan tak ada duit dan tak boleh lagi memberikan wang kepada rakyat seperti sekarang. Ketika itu, rakyat akan tahu kesannya dan pasti akan turut kesal dengan sikap dan tindakan para pemimpin Umno-BN yang langsung tidak menunjukkan tanggungjawabnya bagi menangani masalah ini,” ujar beliau.

15 Disember lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan seperti yang dilaporkan media berkata, penyusutan nilai Ringgit berbanding mata wang dolar Amerika dan dolar Singapura tidak menjejaskan ekonomi Malaysia.

Ini kerana, katanya, nilai ringgit secara jangka panjang kekal stabil dan masih mampu mengukuh berbanding beberapa mata wang utama seperti yen dan euro.

Menurut Ahmad, satu taklimat antara Bank Negara Malaysia dan kementerian itu telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan impak kelemahan ringgit dan kemungkinan penyusutan pendapatan negara berikutan harga minyak dunia yang semakin lemah.

“Hasil perbincangan menunjukkan keadaan masih tidak membimbangkan dan tiada semakan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan: