Khamis, 25 Disember 2014

222 anggota parlimen – terlalu ramai atau sedikit?







Oleh Cindi Loo


Tidak lama lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan proses penyempadanan semula kawasan pilihan raya selepas menangguhkan langkah tersebut yang dijadualkan pada tahun 2011. Langkah penyempadanan semula terakhir telah dilakukan pada tahun 2003.

Seperti kebiasaan, langkah terbaru ini akan menyebabkan wujudnya kerusi-kerusi Parlimen dan negeri yang baru.

Dan tidak ada keraguan tentang perkara ini apabila pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah membayangkan bahawa kawasan-kawasan dengan jumlah pengundi yang besar, contohnya lebih daripada 100,000, perlu dibahagikan kepada dua untuk memastikan adanya jumlah pengundi yang munasabah di kedua-dua kawasan ini.

Terdapat sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai 25 dan 31 kerusi Parlimen. Jumlah kerusi negeri kedua-dua negeri Malaysia Timur ini adalah 60 untuk Sabah dan 71 bagi Sarawak. 

Buat masa ini, mari kita tumpukan perhatian kepada kerusi Parlimen atau sebaliknya pada jumlah ahli-ahli parlimen. 
 
Apabila Parlimen Malaysia telah diwujudkan pada tahun 1969, ia bermula dengan hanya 144 orang ahli parlimen. Angka ini meningkat kepada 154 (1974), 177 (1986), 180 (1990), 192 (1995), 193 (1999), 219 (2004) dan 222 (2008).

Dari tahun 1974 hingga 1982, bilangan ahli parlimen berada pada 154. Walau bagaimanapun, dari tahun 1986, negara menyaksikan peningkatan yang stabil dalam jumlah ahli parlimen, kepada jumlah semasa iaitu 222. 

Sekarang persoalannya ialah, mestikah setiap tindakan penyempadanan semula mengakibatkan peningkatan jumlah kerusi? Tidakkah 222 orang ahli parlimen sudah mencukupi? Atau adakah kita benar-benar memerlukan lebih ramai? 

Jika kita bandingkan jumlah ini dengan negara-negara lain yang turut mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, Malaysia ketinggalan dari segi jumlah. Di United Kingdom, terdapat 650 orang ahli parlimen, dan di India 545.

Jika hanya dari jumlah, kita dengan cepat dapat membuat kesimpulan bahawa Malaysia tidak mempunyai ahli parlimen cukup, dan dengan itu peningkatan jumlah kerusi secara beransur-ansur akan mengurangkan masalah ini. 

Walau bagaimanapun, ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0, Dr Wong Chin Huat berpendapat bahawa jumlah 222 orang ahli parlimen sudah mencukupi bagi mewakili rakyat buat masa ini. 

"Di India, seorang ahli parlimen secara purata mewakili 2.3 juta orang, manakala di UK seorang ahli parlimen mewakili kira-kira 98,000 orang, iaitu jumlah penduduk yang sangat kecil.

"Walaupun di Parlimen, jumlah 222 orang ahli parlimen tidak dilihat besar, kita hanya mempunyai penduduk berjumlah kira-kira 30 juta orang, jadi seorang ahli parlimen sudah pun mewakili kira-kira 139,000 orang pengundi," katanya.

Walaupun memiliki lebih ramai ahli parlimen bermakna perwakilan yang lebih baik untuk kumpulan-kumpulan rakyat yang lebih kecil, ia tidak semestinya berlaku di Malaysia.

Parlimen hanya bertemu bagi tiga sesi sepanjang tahun, dipisahkan oleh tempoh masa yang lama kerana perayaan atau hal-hal kerajaan yang lain, manakala parlimen UK bertemu dalam lima sesi dalam setahun, dengan tempoh-tempoh rehat yang lebih pendek.

Bagi meletakkan hal ini dalam perspektifnya, pada tahun 2014 Parlimen kita telah menjalankan tiga sesi – sesi pertama dari 10 Mac hingga 10 April (20 hari), sesi kedua dari 9 Jun – 19 Jun (8 hari) dan sesi ketiga dari 7 Oktober – 27 November (28 hari), dan juga satu mesyuarat khas tambahan yang dijalankan pada 23 Julai untuk membincangkan mengenai peristiwa MH17. 

Parlimen telah bertemu dan membincangkan isu-isu selama 560 jam dan 58 minit, yang bermaksud bahawa seseorang ahli parlimen boleh bercakap secara purata selama dua jam, 38 minit dan 37 saat.

"Saya rasa kita patut bertanya kepada diri kita sendiri, 'Adakah kita benar-benar ingin mempunyai lebih ramai ahli parlimen supaya mereka mempunyai kurang masa untuk membincangkan isu-isu di Parlimen?'" kata Wong.

Ini adalah beberapa soalan mustahak yang perlu dijawab dalam usaha merangka semula sempadan, yang dijangka bermula tahun depan.

Turut berlaku kes-kes di negara-negara lain di mana jumlah kerusi telah dikekalkan untuk jangka masa yang panjang, ataupun dikurangkan menurun kekurangan kualiti dalam perbahasan.

Amerika Syarikat telah mengekalkan jumlah yang sama dalam Kongresnya sejak tahun 1911, iaitu 435 perwakilan walaupun jumlah penduduknya telah meningkat, dengan beberapa pengecualian, manakala Taiwan telah mengurangkan kerusinya dari 225 kepada hanya 113 kerusi.

Sekalipin kita mengetepikan isu kualiti perdebatan di Parlimen dan ahli-ahli parlimen kita hari ini, Wong merasakan bahawa masalah yang timbul dengan cara sempadan ini dirangka adalah bukannya dengan mewujudkan lebih banyak kerusi, tetapi pengiraan yang lebih baik dan seimbang perlu digunakan untuk merangka sempadan pilihan raya, supaya ada keseimbangan yang wajar bagi setiap kawasan pilihan raya, sama ada di bandar atau luar bandar. 

Pendirian rasmi Bersih 2.0 adalah supaya SPR meneruskan penyempadanan semula, tetapi mengekalkan jumlah 222 orang ahli parlimen. 

Saya bersetuju dengan Bersih. Tidak perlu ditingkatkan saiznya. Kadang-kadang jumlah yang besar tidak semestinya membawa lebih banyak kebaikan, apa yang penting adalah kualiti. Kekalkan saiz 222

Tiada ulasan: