Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketika negara dilanda banjir paling
teruk dalam sejarah, Perdana Menteri Najib Razak meluangkan masa di
padang golf di ambang sambutan Krismas bersama Presiden Amerika Syarikat
Barack Obama.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, tambah
mengecewakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih belum mengumumkan
darurat meskipun lebih 90,000 mangsa banjir telah dipindahkan.
“Sebaliknya, apa yang kita dengar dua hari lalu adalah
kenyataan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen
Abdul Wahab memberi amaran kepada orang ramai yang menyebarkan khabar
angin mengenai keadaan banjir,” kata Pua dalam kenyataannya hari ini.
Sebaliknya Thajudeen hanya berminat dengan formaliti proses
pengumuman darurat dengan mendakwa bahawa ia ‘hanya boleh diisytiharkan
Perdana Menteri’ dan ‘pengumuman akan dibuat melalui saluran rasmi’.
“Beliau tidak pula memaklumkan kepada orang ramai yang
menghadapi masalah tentang usaha kerajaan untuk mengambil langkah
proaktif menguruskan bencana, sebaliknya sibuk mencari pihak yang
dikatakan memulakan khabar angin,” ujarmya.
Justeru itu, Pua menyeru kerajaan menggerakkan segala
sumber untuk mengurangkan akibat banjir, termasuk memulakan operasi di
kawasan-kawasan yang belum dilanda, namun mungkin terjejas teruk
sekiranya berlaku hujan lebat dan peningkatan air pasang.
“Sekiranya darurat perlu diisytiharkan untuk memastikan
mobilisasi skala besar-besaran diselaraskan, maka Perdana Menteri perlu
serta-merta mengumumkan keadaan ‘darurat’.
‘Jika agensi kerajaan masih ‘terpinga-pinga’ dan tidak
mempu mengesan hal yang perlu disegerakan, maka Perdana Menteri perlu
pulang segera ke Malaysia.
“Dan sekiranya 90,000 rakyat Malaysia terpaksa meninggalkan
rumah yang dilanda banjir ke tempat perlindungan, apakah tidak cukup
jelas lagi bahawa keadaan telah darurat? soal Pua. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan