Sabtu, 13 Disember 2014

DPPNK kesal MAS diaristokratkan

IZWAN ABDUL HALIM 


ALOR SETAR: Kerajaan Malaysia mesti menjadikan Malaysia Airlines System Berhad (MAS) sebagai syarikat bersama milik rakyat dan benar-benar berstatus syarikat negara, bukan menjadikannya syarikat kepunyaan sekelompok elit bangsawan atau aristokrat tertentu, demikian gesa Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.

Ketua Penerangannya, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, hari ini MAS kelihatan seperti kepunyaan pihak tertentu iaitu sebarang keputusan untung rugi kepada penumpang dan pekerja MAS tidak dapat ditegur rakyat.

“Baru-baru ini dimaklumkan bahawa semua kesatuan kakitangan MAS mendesak Kerajaan Malaysia mengutama dan menyelamatkan 6,000 kakitangan MAS yang bakal dibuang kerja atas keputusan dibuat oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar.

“Khazanah Nasional sebagai pemegang saham terbesar MAS kelihatan melaksanakan pelbagai tindakan yang merugikan pekerja MAS,” ujarnya kepada Harakah semalam.

Katanya, MAS dan Kerajaan Malaysia selama ini telah menafikan hak asasi beragama umat Islam apabila memasukkan pembayaran arak dalam tiket penumpang dan hak pekerja menutup aurat di sebuah ‘Negara Islam’.

Dengan tindakan itu katanya, MAS telah menjadikan kaki tangan mereka sebagai penyumbang sektor arak yang akan tetap dihidang dalam pesawat.

Malah MAS katanya, bertindak lebih jauh apabila mengkambinghitamkan pekerja MAS atas alasan kerugian demi kerugian yang dialami.

“Kewujudan Rang Undang-Undang MAS (Pentadbiran) 2014 baharu yang diluluskan baru-baru ini kelihatannya ia bercanggah dengan Akta Pekerjaan 1955 dan memberi kekebalan mutlak kepada MAS dalam hal ehwal pekerja.

“Sebelum ini, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Mohd Akram Osman juga menyatakan akta baharu itu menghapuskan sama sekali hak pekerja untuk membuat sebarang tuntutan atau memfailkan kes mahkamah terhadap MAS atau erti lain ia memberi imuniti sepenuhnya kepada MAS.

“Natijah MAS diaristokratkan menyebabkan semua sumbang saran untuk memajukan dan menguntungkan MAS sukar dilaksanakan,” ujarnya kesal.

Sedangkan katanya, hal kerugian dan kepincangan syarikat GLC besar ini tidak di bawa ke Parlimen secara serius mengakibatkan isu ini berlarutan iaitu MAS mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM3 juta sehari bagi separuh pertama tahun kewangan semasa.

Tegasnya juga, Khazanah Nasional atau MAS mahupun BN tidak boleh memberi alasan tragedi MH 17 dan MH 370 sebagai punca kerugian RM 2 bilion dan punca ingin membuang pekerja kerana tradisi kerugian MAS adalah konsisten sejak belasan tahun lalu.

“Khazanah Nasional Berhad sebenarnya  telah gagal menguruskan MAS selepas 12 tahun melalui empat suntikan dana kerajaan dari hasil cukai rakyat sehingga mencecah RM17 billion,” luahnya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: