Khamis, 4 Disember 2014

Akta Hasutan lindungi pemimpin Umno, pecahbelahkan kaum

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Akta Hasutan 1948 hanya bertujuan melindungi pemimpin Umno dan melebarkan lagi perbezaan antara kaum, kata Naib Presiden KEADILAN, Shamsul skandar Mohd Akin.

Beliau merujuk kenyataan pemimpin Gerakan hari ini yang mahukan perwakilan Umno yang berucap pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, didakwa di bawah akta itu kerana menghasut.

Shamsul_AMKMenurut Shamsul, kenyataan Gerakan itu jelas menunjukkan pemimpin Umno kebal daripada tindakan di bawah akta  itu yang disfatkan sebagai selektif.

“Tindakan menghidupkan semula akta ini boleh dianggap minda kelas ketiga, ia jelas digunakan untuk melindungi pimpinan BN sahaja,” ujarnya menggesa parti komponen dalam BN menyatakan pendirian mereka terhadap undang-undang berkenaan.

Terdahulu, Gerakan hari ini menuntut kerajaan menguatkuasakan Akta Hasutan secara adil, termasuk mendakwa beberapa perwakilan Umno yang menghasut dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.

Pengerusi Biro Hak Asasi Manusia dan Undang-undang Pusatnya, Baljit Singh merujuk ucapan perwakilan Umno, Mohd Zaid Mohd Said dan Dr Mashitah Ibrahim, selain menuntut tindakan sama diambil terhadap Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, berkata, Akta Hasutan  hanya akan melebarkan lagi jurang antara kaum dan memecahbelahkan perpaduan sekiranya ia dikekalkan.

Ini kerana katanya, berlaku pendakwaan terpilih apabila kenyataan-kenyataan perkauman yang dikeluarkan pemimpin Umno atau Perkasa tidak diambil tindakan.

“Ia akan memberi kesan negatif terhadap pembinaan negara dan bangsa itu sendiri,” ulasnya.

Tiada ulasan: