adnan


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan situasi di Semenanjung Gaza selamat dan terkawal terlebih dahulu sebelum Umno menghantar 50 doktor pakar bagi 'Misi Bantuan Kemanusiaan Ke-4 ke Gaza'.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerajaan dan Biro Kebajikan Umno Malaysia menyedari keadaan di Semenanjung Gaza pada masa ini masih tidak selamat dengan serangan bom tentera Israel yang berterusan.

"Bila selamat, baru kita hantarlah. Kita tahu sekarang keadaan di sana tidak selamat dan tidak menentu, masih lagi dibom puak Israel dalam kawasan-kawasan Gaza. Sehari 300 hingga 400 bom dihantar ke kawasan Gaza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Nur Ramadan 2014 peringkat Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini.

Ditanya cara memasuki Gaza sekiranya pintu sempadan Rafah ditutup, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza mempunyai kaedah tersendiri untuk masuk ke Gaza bagi menyalurkan bantuan.

"Ada cara...saya pasti bila nak hantar (misi bantuan) sukarelawan pasti akan berbincang bagaimana nak hantar dan bagaimana nak masuk," katanya.

Pada majlis itu, Kementerian Wilayah Persekutuan menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 kepada Masjid Al-Akram Datuk Keramat.

Selain itu, kementerian turut memberikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan kepada 500 fakir dan miskin, anak yatim, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya dan warga emas dalam kawasan Parlimen Titiwangsa. - Bernama