Rabu, 2 Julai 2014

Sharifah Aini dirawat di ICU

MALAYSIAKINI


 


Penyanyi Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di ibunegara kerana jangkitan paru-paru.  
  
Menurut satu kenyataan, Sharifah Aini yang genap 61 tahun hari ini, disahkan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lepas.  
  
Konsultan Pakar Respiratori Datuk Dr Zainuddin Md Zain, yang merawat beliau, berkata situasi itu jarang berlaku dan menyebabkan paru-paru hilang kekenyalan atau berparut akibat penebalan tisu perantara.  
  
"Penyanyi itu dibawa ke hospital oleh anak lelakinya, Aliff Omar Ali pagi semalam apabila beliau menghadapi kesukaran bernafas," menurut kenyatan itu.
  
Terkenal dengan lagu 'Seri Dewi Malam', Sharifah Aini dilaporkan stabil namun dinasihat tidak menerima pelawat kecuali anggota keluarga.
  
Beliau memulakan kerjaya sebagai penyanyi selepas memenangi Pertandingan Juara Bintang RTS (Radio Televisyen Singapura) menerusi lagu 'Tiga Malam' pada 1968.  
  
Sharifah Aini dianugerah 'Biduanita Negara' iaitu gelaran tertinggi negara untuk penyanyi wanita sebagai menghargai sumbangannya kepada industri muzik, rakyat dan negara.
  
Penyanyi era 70-an itu menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN), yang membawa gelaran 'Datuk', daripada Kerajaan Persekutuan pada Jun 2003.- Bernama

Tiada ulasan: