Rabu, 2 Julai 2014

'Serangan seksual bukan sebahagian peranan diplomatik'

MALAYSIAKINI



 


Meluaskan kekebalan diplomatik kepada atase diplomatik yang dituduh pecah rumah dan melakukan serangan seksual, memberi isyarat bahawa kekebalan seumpama itu adalah lesen untuk melakukan jenayah.

Ketika menegaskan demikian dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Eksekutif NGO Lawyers for Liberty, Eric Paulsen (kanan) berkata meluaskan kekebalan tersebut akan menjejaskan hubungan Malaysia-New Zealand.

Di samping itu, tegasnya, "penyalahgunaan" seperti itu juga boleh melemahkan hubungan dengan negara lain kerana Malaysia "tidak dapat menjamin bahawa diplomatnya akan menghormati undang-undang" di negara mereka bertugas.

Oleh itu, NGO berkenaan menggesa kerajaan supaya segera mengekstradisi Muhammad Rizalman Ismail - kakitangan pembantu pertahanan di konsulat Malaysia di Wellington - dan tidak hanya dibicarakan di mahkamah tentera di Malaysia.

Bukan setakat langgar disiplin

"Peguam for Liberty terkejut bahawa kerajaan Malaysia menegaskan ia memberi kekebalan diplomatik untuk melindungi Muhammad Rizalman (Ismail) daripadas apa yang jelas satu kes serius serangan seksual dan pecah rumah - perbuatan yang tiada berkaitan dengan peranan diplomatiknya.

"Kami mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa kekebalan diplomatik adalah penting untuk diplomat bekerja tanpa gangguan di negara asing, tetapi ia bukan satu lesen untuk melakukan jenayah dan sudah tentu tidak boleh digunakan dalam kes ini," katanya.

Beliau juga berkata Rizalman tidak sepatutnya hanya berdepan dengan mahkamah tentera seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Luar kerana dia bukan setakat dituduh melanggar disiplin.

"(Ianya) tidak munasabah kerana ini bukan isu disiplin tetapi kesalahan jenayah yang serius yang didakwa dilakukan terhadap seorang wanita," katanya.

Tiada ulasan: