Selasa, 15 Julai 2014

Penduduk bimbang projek undang tanah runtuh

 
Gegaran akibat projek pembinaan pangsapuri terbabit amat kuat dan dibimbangi akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh


Taman Dahlia, Bukit Beruang


MELAKA: Kira-kira 1,000 penduduk Taman Dahlia, Bukit Beruang di sini hidup dalam ketakutan setelah kawasan bukit bersebelahan taman itu dimajukan. Projek pembinaan pangsapuri yang kini giat dijalankan dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh.

Seorang penduduk, Sazali Kadlan, 57, mendakwa zon penampan yang dibina pemaju terlalu hampir dengan rumahnya iaitu kira-kira satu meter.

“Gegaran akibat projek pembinaan ini juga amat kuat dan saya bimbang berlakunya kejadian tanah runtuh yang mungkin akan menimpa rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dakwanya pemaju memberi jaminan struktur tanah di kawasan projek enam blok pangsapuri 26 tingkat itu mampu bertahan sehingga 100 tahun, namun tiada jaminan secara bertulis diberikan kepada penduduk.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Emily, 53, mendakwa beberapa jirannya telah berpindah dari taman perumahan itu disebabkan bimbang dengan keselamatan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ismail Othman berkata kerajaan negeri akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan pemeriksaan dan pemantauan di tapak pembinaan itu setiap bulan.

“Kita akan memastikan pemaju mengikut segala spesifikasi yang ditetapkan supaya tidak membahayakan keselamatan penduduk di taman ini,” katanya. -Bernama

Tiada ulasan: