Rabu, 23 Julai 2014

PAS gesa kerajaan sedia pasukan peguam terbaik

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: PAS hari ini mencadangkan agar kerajaan menyediakan pasukan peguam terbaik dalam mengumpul maklumat dan membawanya ke  Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi ketika membaca usul bagi sidang Parlimen Khas meminta agar Peguam Negara mengumpulkan segala bukti dan maklumat bagi tindakan lanjut.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar ketika membahaskan usul tersebut memberitahu kerajaan perlu memastikan persiapan dikendalikan oleh barisan peguam yang terbaik dari pihak kerajaan dan juga pembangkang.

"Terlalu banyak kes yang tidak menyebelahi negara ini apabila ia dikendalikan Peguam Negara, lihat bagaimana kehilangan Pulau Batu Putih sebelum ini.

"Kita tidak mahu ia berulang lagi, kerajaan perlu pastikan kita mempunyai barisan peguam terbaik untuk mewakili negara ini," jelas beliau.

Beliau yang turut membawa amanah Presiden PAS kerana tidak dapat hadir atas faktor kesihatan turut menyokong usul yang dibawa Perdana Menteri.

"Mewakili PAS mengucapkan takziah kepada 298 orang mangsa akibat kekejaman anti kemanusiaan yang telah berlaku kepada penumpang dan anak kapal MH17.

"Ini merupakan satu tragedi mengejutkan yang berlaku kepada masyarakat dunia," sambung beliau.

Kamarudin turut memberitahu bahawa Pakatan Rakyat sentiasa bersama-sama kerajaan dalam insiden ini bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

"Sokongan kita ini ikhlas kepada apa yang diambil oleh kerajaan, apa-apa teguran dengan semangat politik ia adalah bagi memastikan tidak berulang pada masa akan datang.

"Insiden ini ada kena mengena dengan politik antarabangsa, ia turut melibatkan hal-hal berkaitan dengan  maruah negara kita.

"Walaupun negara kita kecil tetapi kita mesti menyuarakan keberanian kita di peringkat antarabangsa agar keadilan terhadap insiden ini dapat kita perolehi," kata beliau lagi.

Beliau yang turut meminta agar masyarakat dunia mengutuk keras kekejaman yang berlaku terhadap insiden tersebut sebagai satu jenayah antarabangsa.

"Kalaulah pesawat itu milik Amerika dan ditembak oleh perjuang Islam, maka seluruh dunia akan mengutuk kata Islam itu pengganas.

"Dalam hal ini kita tidak mahu masyarakat dunia berdiam diri, mereka perlu tampil mengutuk keras apa yang berlaku, tidak kira siapa lakukan dalam hal ini kita kena bersatu dalam mencari penyelesaian," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar kerajaan memanggil duta-duta negara yang terlibat untuk tampil memberi penjelasan. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: