Khamis, 17 Julai 2014

Operasi pam air 24 jam menjelang Aidilfitri

SELANGORKINI


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sedang memaksimakan penggunaan air kolam alternatif di Bestari jaya melalui operasi pengepaman yang berjalan selama 24 jam.

Exco Belia, Sukan, Insfrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus Hairi berkata langkah itu diambil sebagai persediaan sumber air menjelang musim perayaan.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri menyeru kepada semua pihak untuk sentiasa berhemah dan berjimat di dalam penggunaan air semasa musim perayaan ini.

“Ia bertujuan memastikan kualiti air Sungai Selangor memenuhi keperluan muka sauk dan juga loji pembersihan air (LPA) terutamanya di musim perayaan yang bakal tiba.

“Walaupun dijangkakan terdapat pengurangan penggunaan air ketika awal musim perayaan disebabkan ramai warga kota pulang ke kampung halaman, operasi pengepaman air kolam akan terus dijalankan untuk memastikan LPA beroperasi pada kapasiti optima dan tangki-tangki umbangan dapat dipenuhkan bagi menampung peningkatan penggunaan selepas cuti perayaan.” jelasnya.

Yunus berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco, semalam.

Operasi tersebut dilakukan oleh pertugas Luas, jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB).

Sekurang-kurangnya 20 buah pam telah dipasang untuk mengepam air daripada kolam ke sungai.

Manakala 7 buah pam lagi digunakan untuk mengepam air sungai ke dalam kolam ketika aliran tinggi.

Bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa gangguan, Yunus berkata sebuah bilik gerakan operasi pengepaman air kolam alternatif telah diwujudkan di bangunan berdekatan dengan kawasan kolam-kolam tersebut sebagai pusat pemantauan operasi.

Katanya, perkhidmatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan juga bantuan Polis turut dilibatkan untuk memastikan keselamatan petugas dan juga operasi terjamin.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memohon perkhidmatan pesawat daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menjalankan operasi pembenihan awan pada skala yang lebih besar.

“Dengan keadaan cuaca semasa yang panas dan kering, operasi pembenihan awan ini akan dilakukan mengikut kesesuaian diatas nasihat pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MET),” katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: