Sabtu, 26 Julai 2014

Letupan Bom di Yala : Seorang Rakyat Malaysia Cedera

RAKYATNEWS


alt
 


KUALA LUMPUR  - Seorang rakyat Malaysia cedera dalam kejadian letupan bom kereta di luar sebuah hotel di Yala, selatan Thailand pada semalam.

Jurucakap Wisma Putra memberitahu Bernama, pihak Kementerian Luar masih menunggu laporan dari kedutaan Malaysia di Thailand mengenai kejadian itu.

"Kita masih menunggu laporan lanjut mengenai identiti individu tersebut. Kita akan sentiasa memaklumkannya," katanya.

Saluran media antarabangsa dan tempatan di Thailand melapor dengan memetik pihak polis sebagai berkata tiga orang terbunuh sementara 40 orang cedera dalam letupan itu.

Polis Thailand dipetik sebagai berkata sebuah bom yang diletak di dalam kereta meletup di hadapan hotel Holiday Hill kira-kira 4 petang waktu tempatan di kawasan yang dipenuhi pelancong dan orang ramai. Siasatan kejadian sedang dilakukan.

Daripada senarai di hospital Betong, warga Malaysia itu ialah seorang pemuda berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Jeemihan dan dipercayai berketurunan India sementara mangsa-mangsa lain adalah rakyat Thai.

Menurut pihak hospital ada 24 orang yang cedera tetapi sumber lain dan laporan media tempatan ada menyebutkan sehingga hampir 40 orang.

Menurut maklumat sumber kakitangan di Hospital Betong, empat orang yang  cedera parah dan dalam keadaan kritikal dihantar menggunakan helikopter untuk menerima rawatan di Hospital Pusat Yala.

Penduduk tempatan berkata bom tersebut meletup sekitar jam 4.45 petang waktu tempatan.

Ia dipasang dalam sebuah trak pikap dan diletak serta diletupkan di hadapan Hotel Holiday Hill di pekan pelancongan Betong.

Ia merosakkan empat premis perniagaan serta berpuluh buah motosikal dan kereta.

Betong pada amnya adalah bandar yang aman dan bukan sasaran serangan puak pemisah sebelum ini.

Menurut maklumat pejabat pelancongan Daerah Betong, sekitar 80 peratus daripada ribuan pelancong yang datang ke situ merupakan rakyat Malaysia yang datang untuk berhibur.

Tiada ulasan: