Rabu, 16 Julai 2014

Kelemahan undang-undang mudahkan syarikat pelancongan menipu 16 Julai 2014

zairil

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan digesa mengambil tindakan terhadap terhadap pengarah syarikat pelancongan Lohas Premium, bukan sekadar membatalkan lesen syarikat tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, tindakan perlu diambil kerana individu pengarah syarikat terbabit menipu orang ramai menggunakan tiga nama syarikat berbeza.

“Hakikatnya, mereka tidak menggunakan syarikat berdaftar untuk mengiklan dan memasarkan produk pelancongan tapi menggunakan dua syarikat tidak berlesen,” kata Zairil dalam satu kenyataan.

Zairil sebelum ini menggesa tindakan diambil terhadap agensi pelancongan Lohas Premium kerana melakukan penipuan, namun sehingga kini kementerian berdiam diri.

Lohas Premium didedahkan gagal memulangkan wang sekumpulan warga emas berjumlah RM10,000 selepas membatalkan pakej pelancongan ke Kemboja dua minggu sebelum tarikh berlepas.

Manakala sepasang suami isteri dari Pulau Pinang, Phua Tat Teik dan Cynthia Lim, sejak Oktober tahun lalu sehingga kini belum menerima bayaran balik daripada Lohas setelah membeli pakej ke Kemboja bernilai RM1,785 walaupun perjalanan dibatalkan.

Perkara ini dibangkitkan pada sidang Parlimen Jun lalu dan kementerian mengesahkan syarikat terbabit sudah disenarai hitam, namun pengarahnya masih menjalankan operasi seperti biasa dengan tiga nama berbeza.

“Pada 16 Jun lalu saya menerima jawapan Parlimen dari Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazrin Aziz yang menyatakan sejak tahun 2009, 14 syarikat telah dibatalkan lesen termasuk Lohas Leisure Holiday.

“Sebagai contoh, dalam laman web rasmi (www.lohas-premium.com), mereka menggunakan Lohas Premium Travel and Lifestyle, sedangkan diiklan Groupon tertulis dengan nama Lohas Premium Holidays.

“Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) kini menyiasat kegiatan mereka. Disebabkan siasatan hanya dibuat terhadap Lohas Premium Travel and Lifestyle serta Lohas Premium Holidays, Lohas Premium berjaya melepaskan diri,” ujarnya.

Berdasarkan carian, ketiga-tiga syarikat tersebut Lohas Premium Travel and Lifestyle Sdn Bhd, Lohas Premium Holidays Sdn Bhd dan Lohas Premium Vacation Sdn Bhd dikongsi dua pengarah sama iaitu Chay Jia Er dan Chan Hiang Yang.

Zairil menegaskan, perkara ini menimbulkan persoalan tentang Akta Industri Pelancongan 1992 yang hanya mempunyai kuasa mendenda atau membatalkan lesen agensi pelancongan berdaftar.

“Dalam konteks ini, kita dapat lihat bagaimana Lohas Premium begitu licik menggunakan syarikat tidak berdaftar, kerana mereka tahu aduan akan dibuat terhadap syarikat yang menjual pakej.

“Oleh kerana Lohas Premium Travel and Lifestyle dan Lohas Premium Holidays tidak berlesen, maka kementerian tidak dapat mengambil tindakan ke atas mereka hingga membolehkan Lohas Premium Vacation terus menikmati lesen sah tanpa sebarang masalah.

“Ini menunjukkan undang-undang sedia ada begitu lemah. Setiap kali kementerian batalkan lesen, syarikat yang bermasalah bukan pengarahnya yang terus memintas sistem serta beroperasi seperti biasa melalui nama berbeza,” kata Zairil. -Roketkini.com

Tiada ulasan: