Rabu, 23 Julai 2014

Hindraf mahu bekas CJ disiasat menghasut

MALAYSIAKINI


 


Pihak polis perlu menyiasat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad di bawah Akta Hasutan ekoran ucapannya di sebuah majlis berbuka puasa pada hari Isnin, kata Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (PHM), P Waythamoorthy.

Sambil menyifatkan ucapan sebagai memualkan dan menjatuhkan maruah semua rakyat Malaysia, Waythamoorthy (kanan), dalam satu kenyataan, berkata mesej Hamid itu menghasut rasa tidak senang di kalangan masyarakat Melayu.

"Polis perlu menyiasat bekas CJ kerana menghasut kebencian kaum di bawah Akta Hasutan. Polis mestilah tidak berat sebelah dalam tugas mereka dan dilihat melaksanakan undang-undang secara saksama," katanya dalam satu kenyataan.

Waythamoorthy berkata, jika ahli politik, pendukung serta aktivis reformasi boleh didakwa dengan hasutan atas alasan yang paling lemah, maka tidak ada sebab mengapa kenyataan bekas ketua hakim negara itu boleh dilepaskan dengan mudah.

Beliau berkata PHM berpendapat bahawa kenyataan yang diucapkan oleh Hamid itu sebagai "bodoh jahil".

Dalam ucapannya di majlis berbuka puasa dengan beberapa NGO Islam kelmarin, Hamid, antara lain, mendakwa bahawa mantan Mufti Pulau Pinang memberitahunya adalah susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin agama lain juga menuntut hak yang sama.

Hamid mengingatkan jika tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi.


Hamid yang berasal dari Pulau Pinang, mendedahkan bahawa mufti juga memaklumkan kepada beliau mengenai satu kejadian semasa perasmian sebuah bangunan di negeri itu oleh timbalan ketua menteri, di mana doa dibacakan oleh seorang Padri Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri.


Waythamoorthy berkata, ia seolah-olah bahawa Hamid telah membuang segala yang beliau belajar di sekolah undang-undang.

Kenyataan beliau telah dikecam oleh Exco Agama Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim, yang mencabar Hamid untuk membuktikannya dan bersedia untuk membawanya melihat bagaimana Islam telah berkembang.

Tiada ulasan: