SPAD  
SPAD


JOHOR BAHRU - Dua kumpulan pengendali perkhidmatan teksi yang dipercayai beroperasi secara haram kini dipantau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sindiket berkenaan beroperasi secara tempahan menggunakan aplikasi dalam talian, perkhidmatan teksi yang menggunakan kenderaan persendirian itu dipercayai dikendalikan oleh sesetengah pihak dari luar negara.
 
"Perkhidmatan teksi yang mereka berikan ini kononnya mengatasi mana-mana sistem dan mendakwa tidak berada di bawah bidang kuasa SPAD.
 
"Kalau mengambil penumpang dan menerima bayaran, ini berada di bawah sistem pengangkutan awam dan tertakluk kepada undang-undang pengangkutan awam darat," katanya kepada pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengusaha Pengangkutan Awam di sini, semalam.
 
Beliau mengingatkan pengguna yang menggunakan perkhidmatan itu bahawa mereka berdepan risiko tiada perlindungan insurans sekiranya teksi yang mereka naiki itu terlibat dalam kemalangan. - Bernama