Khamis, 3 Julai 2014

Akhbar dikaitkan dengan 'pelampau Kristian'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Selepas mengkritik keras MCA, bekas menteri kabinet Tan Sri Zainuddin Maidin kini mengaitkan The Star, akhbar milik parti itu, dengan DAP dan sebuah kumpulan pelampau Kristian di Singapura.

“(The) Star sebenarnya telah lama bermain di tangan DAP dan juga di tangan sebuah mazhab Kristian yang melampau dan berbahaya yang telah diharamkan di Singapura tetapi dibiarkan oleh kerajaan Malaysia yang lemah,” dakwanya.

Tanpa menamakan secara spesifik kumpulan yang didakwanya itu, Zainuddin berkata, beliau masih menyimpan keratan akhbar tentang "kenakalan" akhbar itu dan sikap bermuka-mukanya.

Dalam tulisan terbarunya di blog, Zainuddin mendakwa, daripada “maklumat sah” yang diperolehnya pada malam keputusan pilihan raya lalu diumumkan, ketua pengarang akhbar itu bersiap sedia merayakan kejatuhan BN.

Tetapi, kata Zainuddin, apabila BN ternyata kembali berkuasa, beliau masuk ke bilik dalam wajah muram dan malu.

“Tulisannya bila keluar negara, negara lain baik belaka dan seolah olah Malaysia ini terlalu buruk baginya,” tulis Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu.

Membandingkannya dengan Utusan Malaysia, akhbar Umno, Zainuddin berkata walau apa pun dikatakan terhadapnya, akhbar Umno itu tidak sesekali bertalam dua muka.

Malah, katanya, daripada segi edarannya pun tertinggi berbanding akhbar berbahasa Melayu lain dan jauh mengatasi akhbar berbahasa Inggeris di negara ini.
 

Tiada ulasan: