Selasa, 11 Februari 2014

Sistem penilaian pelajar: PAS gesa kementerian bertindak sebelum guru berdemonstrasi

OLEH MUZLIZA MUSTAFA


Mahfuz Omar mengatakan Muhyiddin perlu memberikan penyelesaian segera, kerana ia sudah menjadi isu yang sangat besar di kalangan guru negara ini. – Gambar fail.Mahfuz Omar mengatakan Muhyiddin perlu memberikan penyelesaian segera, kerana ia sudah menjadi isu yang sangat besar di kalangan guru negara ini. – Gambar fail. 



PAS meminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin agar tidak menunggu sehingga golongan guru berdemonstrasi di hadapan pejabatnya sebelum mengambil tindakan atas Sistem Pentafsiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dibantah mereka.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, perlu memberikan penyelesaian segera ke atas masalah ini, kerana ia sudah menjadi isu yang sangat besar di kalangan guru negara ini.

"Jangan sampai guru membuat demonstrasi dahulu depan pejabat Kementerian Pelajaran, baru mahu buat sesuatu," kata Mahfuz dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar PBS ditangguhkan sehingga perundingan dibuat antara Kementerian Pelajaran dengan persatuan guru, dan mencapai kata sepakat mengenainya.

Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya pada 22 Februari bagi membantah SBA dan mendesak Putrajaya agar memansuhkan program penilaian tiga tahun pelajar itu.

PBS mula dilaksanakan pada 2011 bermula dengan murid tingkatan satu, dan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melahirkan murid cemerlang dalam pelbagai segi, berbanding berorientasikan peperiksaan.

Akibat sistem ini, tiada peperiksaan akhir tahun dan setiap hari guru dikehendaki menilai pelajar berdasarkan enam tahap, bermula daripada aras pemahaman sehingga tahap tauladan.

Data direkodkan ke dalam sistem komputer berpusat.

Selepas ia dilaksanakan, pelbagai kritikan dibuat oleh tokoh pendidik, termasuk bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Aziz.

Ungku Aziz merasakan jikalau tiada tangan-tangan gatal yang mengusik dan merombak sistem pendidikan Malaysia sesuka hati, beliau yakin dan pasti pendidikan negara tidak akan menjadi carca-merba seperti yang berlaku sekarang.

Ekoran itu, Muhyiddin ketika memberikan ucaptama dalam Persidangan Agung UMNO 2013 memberikan janji untuk mula membuat Semakan Kajian PBS Online bagi memperbaikinya bermula April 2014.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk  Mohamad Agus Yusuf berpendapat, guru seronok menjalankan tugas mereka selama ini, walaupun selain mengajar mereka menjadi kerani, mengisi data dan maklumat murid, menjadi jurulatih, dan pelakon di pentas.

"Namun, dengan terlaksananya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah pada tahun 2011, keseronokan guru berubah," katanya melalui akaun Facebook.

Menurutnya, guru tidak senang dengan PBS bukannya kerana beban tugas yang bertambah, tetapi tidak tahan dengan kerenah merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.
Ini kerana sistemnya lambat dan selalu tergantung.

Keadaan inilah yang menyebabkan adanya guru yang bangun sebelum Subuh sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data ke dalam sistem PBS kementerian, katanya.

"Saya menekankan keperluan peperiksaan ini kerana saya tidak mahu melihat pelajar menjadi semakin malas dan tidak suka berfikir. Bagi saya, UPSR dan PMR sudah elok, cumanya jika hendak menilai kedua-dua aspek akademik dan kokurikulum, buatlah 50% peperiksaan dan 50% kokurikulum dan kerja kursus, selesai masalah," kata Agus.

Kedua, kata Agus, jika sistem ini mahu diteruskan juga, maka guru perlu diberikan pembantu untuk merekodkan data, kerana tanggungjawab utama guru adalah mengajar.

"Guru perlu diberikan kembali keseronokan mereka mengajar tanpa dibebankan dengan kesibukan mengisi maklumat dalam komputer," katanya

1 ulasan:

Unknown berkata...

Dasar ini baik jika sistemnya diperbaiki. Aku tak fikir perlu demonstrasi. Yang lebih lebih menekan pegawai di PPD, JPN dan Kementerian. Mahfuz tak payah campurlah. Bukan tahap dia...