KUALA LUMPUR: Golongan moderat di negara ini perlu bersatu meminggirkan kelompok ekstremis serta pengkhianat negara yang hendak menimbulkan kekacauan perkauman dan keagamaan dengan cara mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama, tegas Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Berucap pada forum “Legacy of Tunku Abdul Rahman” di Kolej New Era, Kajang, malam tadi, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah yakin sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan politik tidak mahu rusuhan kaum 13 Mei berlaku sekali lagi di negara ini.
Hasrat ini, ujarnya selaras dengan impian Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang mahukan negara ini dilimpahi kasih-sayang, keamanan, keharmonian dan kemakmuran.
"Justeru itu golongan moderat di Malaysia, dalam BN mahu pun Pakatan Rakyat, (perlu) untuk bersatu dan meminggirkan ekstremis serta pengkhianat negara yang hendak menimbulkan kekacauan perkauman dan keagamaan dengan cara mengapi-apikan semangat perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan; jika tidak, golongan moderat pasti akan tewas di tangan segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda yang pasti akan membawa negara ini ke jurang kemusnahan," tegas beliau.
Forum itu diadakan bersempena ulang tahun ke-111 Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Turut berucap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli dan bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Menurut Kit Siang, Tunku Abdul Rahman sentiasa mahu dikenang sebagai “Perdana Menteri paling bahagia” bagi Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.
"Namun kalau beliau masih hidup pada hari ini mungkin beliau akan menjadi manusia paling sedih dalam negara," ujarnya.
Menurut beliau, sejak sembilan bulan lalu, negara dilanda pelbagai krisis nasional pada skala yang tidak pernah dialami oleh negara ini sepanjang lebih separuh abad usianya.
"Krisis pembinaan dan perpaduan negara; krisis ekonomi, seperti yang tercermin pada kenaikan harga barang dan kesulitan hidup kelompok berpendapatan rendah; krisis pendidikan yang menyaksikan kemerosotan mutu pendidikan; krisis keselamatan yang menjejaskan warganegara, pelabur dan pelawat; krisis urus tadbir, khususnya kegagalan membasmi rasuah," jelas Kit Siang.
Menurut beliau, negara kini menyaksikan jurang antara kaum dan agama paling lebar dalam sejarah disebabkan dua faktor iaitu kelemahan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kempen secara sistematik dan berterusan oleh kelompok ekstremis kaum dan agama.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penubuhan gerakan sivil yang berusaha menghidupkan dan mengembangkan gagasan kasih-sayang, keamanan, dan keharmonian yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman sekaligus mematahkan rencana jahat pihak yang mahu mencetuskan ketegangan dan kekacauan demi matlamat politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan