mahfuz omar Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar


SHAH ALAM - Pas tidak akan membincangkan hal kedudukan Menteri Besar Selangor demi menghormati Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, kedudukan Abdul Khalid tidak wajar dipersoalkan memandangkan setakat ini tidak pernah disebut secara rasmi oleh mana-mana pihak bahawa menteri besar itu mahu melepaskan jawatan ataupun ada kekosongan pada posisi itu.

"Jawatan menteri besar hanya akan dibincangkan oleh kami (PR) jika berlaku kekosongan secara rasmi," katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sudah sampai masanya untuk Pas menuntut jawatan Menteri Besar Selangor yang kini diisi oleh PKR memandangkan parti itu mempunyai lebih banyak kerusi dalam Dun Selangor berbanding rakan sekutunya itu.

Mahfuz berkata, Pas juga tidak pernah bertemu secara khusus dengan pimpinan komponen PR untuk membincangkan hal itu.

"Pendirian kita adalah kekal untuk membantu jentera PKR mempertahankan kerusi Dun Kajang," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua menghentikan spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor.