Sabtu, 15 Februari 2014

‘AMK Baru’ kemuka 7 gagasan dalam manifesto

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR :  Calon bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Amirudin Shari mengemukakan tujuh gagasan dalam manifesto pasukannya yang diperkenalkan sebagai ‘AMK Baru’.

Tujuh gagasan tersebut adalah perkaderan anggota, membela nasib anak muda, Pendidikan dan Latihan Politik, Gerakan mahasiswa dan aktivisme anak muda, muafakat Pemuda Pakatan Rakyat dan Menuju Putrajaya.

Perkara itu dinyatakan dalam Majlis Deklarasi Gagasan AMK yang berlangsung di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut memperkenalkan calon timbalan AMK, Dr Afif Baharuddin yang juga merupakan Adun Seberang Jaya.

Manakala tiga calon bagi jawatan naib ketua AMK dari pasukannya ialah- peguam Radzlan Jalaludin, Sangetha Jayakumar dan Raymond Bin Ahuar.

Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 150 anggota AMK, Amiruddin berikrar akan menggagaskan idea-idea baru terutama dalam sosial dan ekonomi.

“Dalam masyarakat, anak-anak muda sentiasa dipandang sebagai masalah, namun merekalah yang sebenarnya akan mewarisi kepimpinan satu hari nanti,” katanya yang juga ADUN Batu Caves.

Dalam sidang media selepas itu, beliau juga berkata pasukannya akan bergerak dengan lebih jelas untuk memperkukuhkan KEADILAN sebagai sebuah parti.

“Yang pentingnya pada saya kita menggariskan sasaran dan kerja yang jelas untuk kerja dan tugas anak-anak muda untuk memperkuat parti dan mengerakkan perubahan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr Afif menegaskan pasukan AMK Baru tidak semata-mata menawarkan individu sebagai calon tetapi membuat tawaran tujuh manifesto sebagai janji bersama.

“AMK Baru tidak tawarkan individu. Kami tawarkan tujuh gagasan untuk anggota KEADILAN,” katanya.

Tiada ulasan: