Khamis, 13 Februari 2014

Adenan Satem Ketua Menteri Sarawak yang baru

MALAYSIAKINI






Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah mengumumkan bahawa penggantinya ialah Tan Sri Adenan Satem.

Abdul Taib mengumumkan demikian selepas beliau menyerahkan surat peletakan jawatan bertarikh 28 Februari kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin.

Pertemuan dengan yang dipertuan negeri berlangsung kira-kira sejam di Astana Negeri. Abdul Taik memberitahu pemberita kemudian bahawa Adenan mendapat sokongan penuh BN Sarawak untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Abdul Taib diiringi Presiden PRS Tan Sri James Masing, Presiden SPDP datuk William Mawan, Timbalan Presiden PBB Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan bekas ketua SUPP cawangan Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Mereka yang ketara tidak hadir termasuk Adenan, Datuk Seri Abang Johari Openg dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. Ketiga-tiga dikatakan menjadi calon yang berpotensi untuk jawatan KM.

Seorang lagi yang ketara tidak hadir ialah Presiden SUPP, Tan Sri Peter Chin. Jurucakap beliau telah memberitahu pemberita yang beliau tidak sihat dan tidak dapat menghadiri majlis tersebut.

Adenan merupakan bekas peguam dan pada satu ketika pernah menjadi adik ipar Taib. Adenan pernah berkahwin dengan adik perempuan Taib, Zainab Aishah.

Adenan, 70, kini merupakan ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan penasihat khas kepada ketua menteri, dengan berstatus menteri negeri.

Beliau meletak jawatan sebagai menteri persekutuan pada 2008.

Pada tahun 2011, beliau dipilih sebagai calon PBB dalam pilihan raya negeri, untuk mempertahankan kerusinya Tanjung Datu, yang dimenanginya dengan majoriti yang selesa. Adenan dipercayai mengalami komplikasi jantung.

Beliau adalah antara tiga personaliti untuk mengambil alih jawatan ketua menteri. Dua lagi ialah naib presiden PBB, Datuk Awang Tengah Ali Hassan dan Timbalan Presiden, Datu Abang Johari Openg.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar selepas menghadap yang dipertua negeri, Bernama melaporkan Abdul Taib berkata: "Apabila saya memaklumkan kepada beliau (Tun Abang Muhammad Salahuddin) mengenai niat saya  (untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri), beliau tiada bantahan".
  
Menurutnya, nama Adenan yang juga anggota Majlis Tertinggi PBB dicadangkan kepada Tun Abang Muhammad Salahuddin dan beliau bersetuju dan majlis angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru akan diadakan pada 28 Februari.
  
"Adenan mewakili satu bentuk perjanjian antara tiga calon (yang disebut-sebut mengantikan Taib sebagai ketua menteri)," katanya.
  
Dua lagi calon ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
  
Taib berkata pemilihan Adenan, yang juga ADUN Tanjung Batu, sebagai penggantinya juga untuk memastikan BN negeri akan terus mengekalkan semangat berpasukan yang semakin utuh dalam kalangan mereka sejak beberapa tahun lepas.
  
Beliau yakin dengan dasar-dasar sedia ada yang telah dibangunkan bersama-sama dan pasukan pemimpin yang akan bekerja dengan Adenan, Sarawak akan mampu meneruskan momentum pembangunan pesat pada masa depan.
  
Taib, yang telah memegang jawatan ketua menteri sejak 1981 berkata, beliau juga akan mengosongkan kerusi DUN Balingian yang diwakilinya susulan peletakan jawatannya itu.
  
"Sebarang pilihan raya kecil selepas saya mengundurkan diri diserahkan untuk diputuskan oleh ketua menteri yang baru (Adenan) dan mungkin ia akan menjadi tugas pertama beliau untuk merundingi semua rakan (parti-parti komponen) BN (mengenai) siapa yang akan mengisinya (kekosongan itu).
  
"Saya tidak ada siapa yang mahu dicalonkan sebagai pengganti saya dan untuk bersikap adil, saya serahkannya kepada ketua menteri (yang baru)," katanya.

Tiada ulasan: