Sabtu, 20 Oktober 2012

Wan Azizah masak kek istimewa, kempen tingkat kesedaran jenayah

0leh: Aisha Geofrey

KUALA LUMPUR : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkempen dengan cara tersendiri bagi  mempupuk kesedaran terhadap peningkatan jenayah, khasnya kepada golongan wanita dan suri rumah.



Ia dilakukan menerusi demonstrasi masakan dari dapur di kediamannya dalam program dinamakan ‘Santai Bersama Kak Wan’ anjuran Biro Komunikasi KEADILAN Pusat.

Program itu turut bertujuan mempromosi laman Facebook, “Malaysian Mothers Against Crime’ dengan mensasarkan 10,000 menyukai laman sosial berkenaan.

Menariknya dalam program selama sejam itu, Wan Azizah sendiri menyediakan kek keju istimewa yang dimasak  khas  kepada sekumpulan kaum ibu yang hadir.

Semasa sidang media selepas itu, Azizah berkata, jenayah terhadap wanita di Malaysia kian meningkat dan tidak mendapat perhatian secukupnya dari kerajaan.

Katanya, ia terbukti apabila wanita semakin merasa tidak selamat berada di tempat awam mahupun kediaman sendiri.


“Seorang rakan saya, diragut rantai emas di lehernya ketika sedang berada di rumahnya sendiri, bayangkan betapa jenayah semakin menjadi-jadi sekarang?”

“Walaupun kerajaan beri persepsi jenayah menurun, tapi apabila ia berlaku kepada diri anda, ia menjadi 100 peratus,” tambahnya.

“Walaupun ini hanya program kecil tapi ia amat bermakna, saya boleh berkongsi cerita, pandangan dan pengalaman bersama para ibu yang lain,” kata isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu
“Sebagai ibu, tanggungjawab untuk memastikan ahli keluarga sentiasa dalam keadaan selamat, itu yang paling utama,” tambahnya.

Tiada ulasan: