Sabtu, 20 Oktober 2012

Utusan fitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang, main sentimen perkauman lagi

Roketkini.com

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini memperlekehkan usaha UMNO dan lidah rasminya, Utusan Malaysia untuk memainkan sentimen perkauman melalui fitnah jahatnya dengan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang kononnya meminggirkan masyarakat Melayu.

Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini menyifatkan laporan muka depan Utusan Malaysia yang menuduh bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menggunakan dana Akaun Amanah Perumahan Bumiputera untuk membina rumah kos rendah sebagai tindakan yang memakan diri sendiri.

Ketua Pembangkang Pulau Pinang merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilyah Pulau Pinang (PERDA), Dato Azhar Ibrahim dilaporkan Utusan Malaysia menyelar keputusan kerajaan negeri untuk tidak menggunakan dana bernilai RM33.6 juta untuk membina 10,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik.

“Kenyataan Azhar ini adalah tidak masuk akal kerana ini bermakna hanya perlu RM 3,360 untuk membina sebuah yunit! Saya ingin melihat PERDA bina rumah kos rendah dan mampu milik dengan kos RM 3,360 seyunit –mustahil dilakukan,” kata Guan Eng.

Menurut beliau lagi, sejak tahun 2008, kerajaan negeri melalui Penang Development Corporation (PDC) telah membina 4,000 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah dengan 8,000 yunit lagi disumbangkan oleh pihak swasta menjadikan keseluruhan 12,000 yunit.

Guan Eng turut berkata bahawa sungguhpun adalah tanggungjawab kerajaan pusat untuk membina rumah mampu milik, kerajaan negeri PR Pulau Pinang telah memperuntukkan RM 500 juta untuk membina rumah mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang, termasuk di kawasan pulau.

“RM500 juta hanya cukup untuk membina 18,000 yunit rumah mampu milik kepada semua rakyat pada 5 tahun yang akan datang,”

“Sekiranya kerajaan negeri menggunakan wang Akaun Amanah terdahulu, akan datang pula tuduhan jahat Utusan dan UMNO bahawa kerajaan negeri tidak mahu menggunakan wang sendiri untuk membina rumah mampu milik sebaliknya guna wang bumi,” ujar beliau.

Untuk mengelakkan tuduhan sedemikian katanya, wang kerajaan negeri digunakan dahulu, memandangkan wang akaun amanah tidak mencukupi kerana untuk membina 350 unit rumah kos sederhana rendah, kos pembinaan tanpa kira kos tanah sahaja sudah menjangkau RM35 juta.

Menurut beliau lagi, “Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan jaminan untuk membina rumah mampu milik dan dibukti dengan rumah pangsa. Kerajaan negeri, tidak seperti kerajaan UMNO-BN yang berjanji selama 28 tahun dahulu untuk membina rumah kelamin bagi anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia(TUDM) di Bertam, Kepala Batas dan masih tidak dibina sehingga hari ini,” sambil memberitahu bahawa 330 ekar tanah TUDM di Bertam, Kepala Batas tidak dibina rumah kelamin TUDM sejak 1984 tetapi disewa dengan harga hanya RM 7,000 sebulan.

“Tempoh sewaan adalah 3 tahun setiap penggal dan akan tamat pada Jun 2013. Mengapakah UMNO, Utusan dan Azhar tidak mempersoalkan apakah faedah kepada angkatan tentera dan negara kalau 330 tanah yang diambil alih tidak digunakan untuk membina rumah kelamin tetapi disewa hanya dengan harga RM7,000 sebulan?” soal beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: