Jumaat, 26 Oktober 2012

Umno BN pentingkan keuntungan dalam pengangkutan awam


Saiz Teks: A A A
Oleh: Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan Umno BN lebih mementingkan keuntungan dalam sistem pengangkutan awam menyebabkan perkhidmatan itu kurang efisien.

Ahli Jawatankuasa Kumpulan Kerja Mengenai Pengangkutan Awam di Malaysia (KKPAM), A Sivarajan berkata, dasar pengangkutan awam perlu mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dan bukan keuntungan semata-mata.

“Sebagai contoh kita pernah memohon syarikat pengangkutan untuk menyediakan perkhidmatan bas di kawasan yang perlu. Namun jawapan mereka adalah laluan itu tidak ramai orang dan kurang menguntungkan.

“Selagi ada masalah dasar ini, maslah kepincangan dasar pengangkutan awam tidak akan selesai.
Penyelesaiannya ialah kerajaan perlu mengubah dasar yang mementingkan dasar keuntungan semata-mata,” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCH) di sini hari ini.

Sivarajan yang juga Bendahari Kehormat Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpendapat  agensi kerajaan dan swasta perlu bekerjasama untuk memastikan kecekapan sistem pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.
“Masalah utama ialah tiada kesinambungan. Sebagai contoh, Perancang Bandar hanya menumpukan kerja dia, tetapi mereka tidak fikir adakah bas akan lalu di kawasan itu.

“Begitu juga dengan syarikat pengangkutan awam, mereka tidak mengadakan perbincangan dengan pemaju atau pihak berkuasa tempatan, dia hanya melihat kalau ada keperluan dan ramai orang mereka akan lalu di kawasan itu,” ujarnya.

Justeru bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam, KKPAM akan menganjurkan Forum Kebangsaan Pengangkutan Awam pada 3 November depan di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya.

Forum itu turut disertai wakil agensi kerajaan seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Kementerian Perubahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“Melalui forum ini, wakil kerajaan akan membentangkan kertas kerja mengenai polisi pengangkutan awam manakala badan-badan masyarakat akan mengemukakan cadangan mereka,” katanya.

Sivarajan berkata hasil perbincangan forum itu akan diserahkan kepada kerajaan supaya dapat mempertingkat mutu pengangkutan awam di negara ini.

Tiada ulasan: