Ahad, 7 Oktober 2012

Tukar k’jaan jika tak mahu anak Mahathir bolot hasil minyak

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR 5 Oktober: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan Putrajaya perlu ditukar sekarang bagi mengelakkan hasil minyak dibolot keluarga pemimpin Umno.

“Ini kerana syarikat yang mengurus carigali telaga minyak sekarang ada dimiliki keluarga pemimpin-pemimpin Umno sahaja. Misalnya dua telaga minyak di perairan Kelantan dimiliki syarikat anak Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Di perairan Kelantan masih ada 23 lagi telaga minyak yang belum lagi beroperasi. Setiap telaga minyak dianggarkan bernilai kira-kira RM3 bilion. Jadi bagi mengelakkan telaga minyak tersebut dibolot keluarga pemimpin Umno, kerajaan yang ada di Putrajaya sekarang perlu ditukar,” katanya dipetik Harakah Daily.

Ahli Parlimen Machang itu berucap pada ceramah di Putik, Pengkalan Chepa malam tadi.

Saifuddin berkata, negeri-negeri pengeluar minyak di negara ini berpeluang mengurus sendiri operasi minyak di perairan mereka melalui syarikat milik kerajaan negeri (GLC) di bawah komitmen baru Pakatan Rakyat.

Katanya, perancangan itu boleh menjadi kenyataan apabila Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Saifuddin pada perbahasan Bajet BN Selasa lalu mendedahkan, SapuraKenchana Petroleum dimiliki anak ketiga Mahathir, Datuk Mokhzani mendapat kontrak minyak sebanyak RM2 bilion.

Menurutnya, Armada Sdn Bhd milik Tan Sri Halim Saad turut diberi kontrak penyimpanan minyak dan gas bernilai RM8.5 bilion pada Isnin lalu.

Halim adalah salah seorang tokoh korporat Melayu yang rapat dengan Mahathir terutama pada era 90-an.

Tiada ulasan: