Beberapa individu yang ditemui wartawan Malaysiakini mempertahankan penganjuran majlis perkahwinan mega anak Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam Ahad lalu yang direkodkan dalam Malaysia Book of Records dengan kehadiran lebih 100,000 orang.

NONEWalaupun ada yang menyatakan rasa tidak senang dan mempersoalkan tujuan majlis sebesar itu diadakan, individu-individu itu, ketika ditemui di Bandar Melaka semalam, tetap menganggap bahawa isu pembaziran yang cuba dibangkitkan itu bermotifkan politik.

Seorang daripadanya, Zawiyah Abdul Rahman (kiri), 60, menganggap tiada salahnya Mohd Ali mengadakan majlis besar seumpama itu.

"Majlis berkenaan adalah selari dengan kapasitinya sebagai seorang pemimpin nombor satu di negeri ini, apatah lagi yang dijamunya juga adalah rakyat.

"Majlis berkenaan juga adalah untuk meraikan persandingan anak sulungnya dan saya rasa tidak salah beliau membuat majlis agak besar sedikit," kata surirumah tersebut.

Neo: Menunjuk-nunjuk


Seorang lagi individu, Mohd Khahar Mohtar, 26, berkata, jumlah kehadiran tetamu jemputan sepanjang majlis selama lapan jam itu menampakkan sokongan rakyat terhadap pemimpin terbabit.

"Beliau seorang pemimpin dan jumlah kehadiran tetamu jelas menunjukkan rakyat memberikan sokongan padu terhadap beliau apatah lagi bakal berdepan pilihan raya dalam masa terdekat ini.

NONE"Bagi saya, orang yang cuba membangkitkan isu kononnya ketua menteri membazir, mereka sebenarnya sakit hati dan bermotifkan politik," katanya (kanan) yang bertugas sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta.

Namun berlainan pula dengan seorang wartawan, Zaili Muhammad Imbiah, 38, yang berpendapat, majlis berkenaan bukan sahaja dianggap membazir malah turut mendakwa ia menyalahgunakan jentera kerajaan.

"Saya melihat sendiri ramai anggota polis digunakan dan begitu juga anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditugaskan mengawal lalulintas pada majlis berkenaan," katanya.

Sementara itu, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Neo berpendapat, penganjuran majlis besar sebegitu merupakan usaha "menunjuk-nunjuk" dan bermotifkan politik.

"Pada saya tidak perlu membazirkan wang untuk jamuan majlis perkahwinan sebegitu rupa," kata kerani kewangan itu.

'Elok salur untuk rumah PPRT'
Seorang lagi individu yang ditemui Malaysiakini, Ahmad Firdaus Mohd Piah, 26, juga mempersoalkan kos untuk jamuan sebesar.

Katanya, sekiranya benar ia mencecah jutaan ringgi, jumlah itu lebih sesuai dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

NONE"Wang sebanyak itu lagi elok disalurkan untuk membantu memenuhi permintaan rumah untuk orang miskin seperti permohonan program perumahan rakyat termiskin (PPRT).

"Masih banyak lagi permohonan PPRT yang tidak dipenuhi dan masih banyak lagi laluan di kampung-kampung yang tidak berturap," dakwanya.

Persandingan anak sulung Mohd Ali, Mohd Ridhwan, 26, dan pasangannya Nur Azieha Mohd Ali, 26, berlangsung dengan penuh meriah dan dihadiri Sultan Selangor, para menteri dan juga kenamaan lain.

Hadirin di majlis yang diadakan di Dewan Tun Ali, Bukit Katil itu turut dihiburkan dengan dendangan penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza.

Tinjauan: 100,000 hadir majlis kahwin 'mega' tanda sokongan
KM Melaka diminta perjelas belanja majlis kahwin 'mega'