Harakahdaily, |
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan mengetuai konvoi menuntut royalti ke Istana Kehakiman Putrajaya pada 3 Oktober ini.
Konvoi tersebut adalah anjuran Gabungan Profesional Menuntut Royalti (R), Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) sempena berlangsungnya hari perbicaraan kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petronas berkenaan royalti petroleum.
Presiden R, Nazri Deraman berkata,Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu telah bersetuju untuk mengetuai konvoi pada hari tersebut.
"Kita telah terima makluman tenghari tadi bahawa YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menghadiri dan mengetuai program
Himpunan ROYALTI di Istana Kehakiman Putrajaya pada 3 Oktober 2012 (Rabu) nanti.
"Beliau juga bersetuju untuk menghadiri Ceramah Mega R Tuntut Royalti pada 2 Oktober 2012 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam," katanya.
Sehari sebelum berkonvoi ke Putrajaya, pasukan konvoi akan menyertai Ceramah Mega R Tuntut Royalti di Shah Alam.
Program itu akan dihadiri pemimpin-pemimpin utama politik Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Dato Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Selain mereka, turut akan hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti & Pendaratan Gas Negeri Kelantan, Dato Husam Musa, wakil pimpinan Sabah Tan Sri Ibrahim Menudin, wakil pimpinan Sarawak YB Baru Bian termasuk wakil NGO-NGO dari Terengganu iaitu Presiden Majlis Pemaufakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT), Hj Fauzi Abu Samah, NGO dari Sabah iaitu Gerakan Nasionalis Sabah yang diwakili Presidennya Hj Zainal Ajamain.
Menurut Nazri, Konvoi Mega seluruh negara ke Putrajaya diadakan bagi memberikan isyarat yang jelas kepada Kerajaan Malaysia bahawa Rakyat Malaysia, terutamanya Negeri Kelantan sudah bangkit dalam menuntut hak hasil bumi mereka agar dikembalikan.
"Ia sebagai saluran baru bagi memberi tahu seluruh rakyat Malaysia selepas semua saluran media pro-kerajaan mahu menutup isu tuntutan Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke negeri," katanya.
Pada hari himpunan di Putrajaya itu juga, mereka akan menyerahkan 150 ribu tandatangan atau referandum kepada Datuk Seri Najib Razak, di pejabat Perdana Menteri.
"Jumlah itu adalah 10 peratus nisbahnya daripada Rakyat Negeri Kelantan bagi menggambarkan kepada Perdana Menteri bahawa seluruh Rakyat Kelantan mahukan Wang Royalti dibayar kepada Kerajaan Negeri, Minyak dan Gas perlu didaratkan ke Negeri Kelantan dengan segera," ujarnya.
Selain itu, konvoi juga dijangka ke ke Menara Petronas di KLCC bagi menyatakan tuntutan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan