Rabu, 3 Oktober 2012

Suruh isteri Hishammuddin berjalan seorang diri

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR- Rakyat akan rasa selamat kalau menteri berani suruh isterinya berjalan seorang diri di sudut terpencil kawasan letak kereta kompleks beli belah, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Suruh isteri (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) jalan seorang diri di sudut terpencil di kawasan letak kereta kompleks membeli belah.

"Kalau isteri dia berani buat begitu, baru menteri itu boleh cakap hendak menumpukan usaha mewujudkan rasa selamat di kalangan masyarakat," katanya.

Hishammuddin hari berkata, indeks jenayah tidak lagi menjadi keutamaan dalam fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) jenayah oleh kerana kerajaan akan memfokuskan kepada persepsi rakyat berkenaan dengan jenayah.

Menurut beliau, kerajaan akan memastikan kebimbangan orang ramai terhadap peningkatan jenayah akan dapat dikurangkan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tidak mungkin rasa selamat yang hendak diwujudkan oleh Hishammuddin itu boleh berjaya kalau bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pun tidak percaya indeks kadar jenayah yang cuba disogokkan oleh kerajaan.

Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Musa berkata, kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan beliau meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

"Bukan sahaja Musa, bank pun takut akibat peningkatan kadar jenayah," kata Mohamad lagi.

Sebelum ini, bank-bank dilaporkan hendak membatalkan penempatan mesin-mesin ATM mereka di pusat-pusat membeli belah, pasaraya dan stesen-stesen minyak.

Mereka mengambil keputusan itu kerana tidak tahan menghadapi siri-siri samun dan rompak yang berprofil tinggi.

"Bila bank buat keputusan begitu, ia bukan sahaja menafikan kemudahan yang dinikmati orang ramai selama ini, tetapi lebih dari itu, ia memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap kadar jenayah.

"Kalau begitu realitinya, persepsi apa yang Hishammuddin hendak tumpukan dan rasa selamat apa yang beliau hendak wujudkan?" Mohamad terus mempersoalkan.

Beliau juga hairan mengapa Hishammuddin "suka cakap merapu".

"Bekas Ketua Polis Negara kata jenayah meningkat, bank-bank takut dengan rompak dan samun malah menteri pun kata para pelabur asing juga bimbang dengan keadaan keselamatan di negara ini, tiba-tiba Hishammuddin kata nak wujudkan rasa selamat.

"Kenapa dia suka cakap merapu?" Mohamad terus mempertikaikan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa para pelabur asing bimbang dengan keadaan keselamatan di negara ini.-harakahdaily

Tiada ulasan: