Selasa, 2 Oktober 2012

Subsidi gula: Kompaun peniaga naikkan harga makanan

ARHIZA AHMAD

Datuk Tan Lian Hoe
Datuk Tan Lian Hoe 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan mengesa peniaga dan pengusaha makanan tidak menaikkan harga makanan berasaskan gula berikutan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen, sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2013 Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, mereka yang gagal mematuhinya boleh dikompaun.

Menurutnya, tindakan itu diambil di bawah Akta Pencatutan dan didenda maksimum hingga RM50,000 bagi individu.

"Bagi pengusaha syarikat pula mereka boleh didenda sehingga RM500,000, oleh itu saya menyarankan kepada peniaga dan pengusaha tidak mengambil kesempatan serta menaikkan harga makanan.

"Kosnya begitu minimum tidak sampai satu sen, harap mereka dapat menyerap kos ini sekaligus dapat membantu mengurangkan kos hidup rakyat di negara ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengumumkan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen.

Lian Hoe berkata, anggota penguat kuasa telah dikerah bagi memantau harga di seluruh negara membabitkan kedai, restoran dan industri makanan.

"Tindakan ini diambil bagi memberi kesedaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati.

"Apa yang diharapkan oleh kerajaan, agar pengguna dapat menyalurkan maklumat sekiranya ada penggusaha atau peniaga menaikkan harga," katanya.

Tiada ulasan: