Timbalan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tidak bercadang untuk menarik balik permit teksi yang sedia ada.

Sebaliknya akan menarik balik surat tawaran kelulusan (STK) yang gagal dilesenkan dalam tempoh yang diberikan, katanya

MP Pontian itu berkata sebanyak 6,602 surat tawaran kelulusan yang gagal dilesenkan dalam tempoh setahun yang diberikan.

"Salah satu tujuan STK yang gagal dilesan ditarik balik adalah untuk mengawal keseimbangan permintaaan dan penawaran, serta mengurangkan jumkah teksi di seluruh negara.

"Ini sekaligus memberi peluang kepada pemandu teksi yang sedia ada untuk memperoleh pendapatan yang lebih memuaskan," katanya.

Ahmad Maslan menjawab soalan Ahmad Kassim (PKR-Kuala Kedah) yang meminta penjelasan sama ada SPAD akan menarik semula kira-kira 7,000 permit teksi yang dikenali sebagai tidak aktif dan memberi kepada pemandu teksi persendirian.

Ahmad Maslan yang juga ketua penerangan Umno menjelaskan notis pembatalan surat tawaran kelulusan telah dihantar kepada 1,130 pemilik teksi.

Menurutnya lagi, SPAD turut membatalkan permit teksi terhadap pemilik yang didapati bersalah yang melanggar syarat permit atau atau tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Salah satu justifikasi memberi permit kepada individu, adalah memberi peluang kepada pemandu teksi, yang pada masa ini menyewa kepada syarikat, untuk memiliki permit teksi sendiri, dan syarat-syaratnya sedang dirangka oleh SPAD," katanya.