Sabtu, 13 Oktober 2012

Scorpene: Peguam Perancis akan hadir ke Parlimen

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Dua peguam Suaram dalam kes Scorpene di Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham akan datang ke Malaysia dalam masa terdekat untuk memberi taklimat berhubung isu itu kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

KeadilanDaily melaporkan, Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel berkata, kedua-duanya telah memohon visa dan akan hadir sebelum sidang parlimen berakhir, November ini.

“Kita sedang merancang tarikh sesuai untuk bawa mereka beri penerangan di Parlimen. Mungkin dalam bulan November. Visa kedua-dua peguam untuk ke Malaysia telah dimohon minggu lalu.

“Kita akan bawa mereka masuk secara sah untuk beri penerangan kepada Ahli Parlimen Malaysia dan sekarang sedang cari tarikh sesuai,” ujar Cynthia yang dipetik portal PKR itu.

“Kalau boleh kita tak nak buat penerangan di Singapura. Itu hanya pilihan terakhir,” ujar beliau lagi.

Menurut Cynthia, kemasukan itu dibuat mengikut prosedur selepas Wisma Putra dan Jabatan Imigresen sebelum ini mengguna alasan untuk mengusir Bourdon atas alasan menyalahguna pas lawatan.

“Jadi kali ini kita mohon secara betul mengikut prosedur.

“Kita bawa masuk mereka kali ini secara sah dan harap kerajaan beri kerjasama. Wisma Putra tak perlu beri alasan untuk halang peguam jumpa klien (Suaram),” tegas Cynthia.

Tiada ulasan: