Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata cadangan dalam Belanjawan 2013 Jumaat lepas bahawa golongan belia berusia antara 21 hingga 30 tahun layak menerima rebat itu mungkin boleh diperhalusi.
"Kita mungkin terpaksa melihat semula beberapa kategori usia yang harus kita ambil kira...takrif belia sebenarnya ialah 40 tahun ke bawah, jadi kalau kita berhentikan setakat 30 tahun sahaja misalnya mungkin ada sedikit luar biasa.
"Sekiranya perlu, kita juga akan kaji peruntukan atau keperluan tertentu bagi satu-satu kategori umur bagi memenuhi aspirasi generasi muda," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Dana Karya Penulis Tempatan 2012 di sini, hari ini.
Ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian rebat itu kepada kira-kira 1.5 juta belia berusia antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah melalui Pakej Komunikasi Belia, bermula 1 Januari tahun depan.
Rais berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan menentukan kaedah terbaik untuk memberikan rebat tersebut kepada belia yang layak bagi mengelakkan sebarang penipuan dan ketidakadilan.
"Kita juga akan hanya melantik wakil pengedar yang bertauliah serta diuji dan sekiranya mereka itu melepasi semua syarat yang ditetapkan kita akan mempertahankan prinsip tersebut.
"Perlu diingat pemberian rebat ini dibuat tanpa mengira perbezaan kaum, agama, latar belakang politik, budaya dan ianya mencerminkan kasih sayang," katanya.
Sehubungan itu, katanya, kementerian mewujudkan sebuah jawatankuasa penentu yang bertanggungjawab dalam memastikan pemberian rebat dilaksana secara cermat.
"Butiran mengenai apa juga cadangan yang telah dipersetujui pula akan diumumkan sama ada pada 16 atau 17 Oktober selepas mesyuarat teknikal dengan pihak bersangkutan termasuk perbendaharaan, SKMM dan pegawai yang menyelenggarakan program ini," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan