Selasa, 23 Oktober 2012

Rapid: Azalina beri Mazlan 7 hari minta maaf

SINAR HARIAN

Azalina Othman Said
AZALINA
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman memberi masa seminggu kepada ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mazlan Aliman untuk memohon maaf atas kenyataannya berhubung projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Petronas di kawasan itu.
  
Mazlan dalam ucapannya semasa Perhimpunan Hijau di Pengerang baru-baru ini mendakwa Azalina mempengaruhi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memilih Pengerang bagi menjalankan projek Rapid itu.

Azalina berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menyaman Mazlan, yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), sekiranya beliau tetap dengan pendiriannya untuk tidak memohon maaf.
 
Beliau berkata, pihaknya telah bersedia membawa perkara itu ke mahkamah dan telah menyerahkan 'letter of demand' kepada Mazlan melalui peguamnya.
  
"Tidak mahu mohon maaf tidak apa...kita jumpa di mahkamah," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
  
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa Mazlan tidak akan meminta maaf kepada Azalina.
  
Sementara itu, Azalina turut menyifatkan pembangkang tersilap langkah apabila mendakwa penduduk Pengerang menolak projek berkenaan di kawasan itu.
   
Azalina berkata, sebaliknya penduduk di lokasi projek memberi sokongan penuh malah menerima tawaran pengambilan tanah oleh kerajaan negeri Johor.
  
"Tiada bantahan daripada penduduk terlibat dalam fasa pertama projek berkenaan malah apabila borang pengambilan tanah diserahkan, semua menerima tawaran pengambilan tanah itu," katanya yang enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai identiti penduduk serta jumlah pampasan yang diterima mereka. 
  
Beliau turut menegaskan bahawa projek Rapid tidak mengganggu alam sekitar termasuk mengganggu habitat dugong dan ikan lumba-lumba.
  
"Dugong dan ikan lumba-lumba hanya ada di sebelah Sungai Johor iaitu Sungai Lebam...tidak ada dugong di kawasan laluan kapal di Pengerang dan tiada sebarang pelanggaran pernah dilaporkan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: