Ahad, 7 Oktober 2012

PRU13: Pemuda Pas Pusat yakin pertahan Beserah

ASWANY OMAR
 PRU13: Pemuda Pas Pusat yakin pertahan Beserah
Nasarudin bersama sebahagian pemuda Pas yang menghadiri Jambori Amal selepas majlis perasmian.
 
KUANTAN – Pemuda Pas yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Beserah kekal milik Pas, namun pihaknya tidak memandang ringan kepada Umno yang mungkin meletakkan calon terbaik untuk merampas kawasan itu.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasarudin Hassan Tantawi berkata, Pemuda Pas berusaha memastikan kawasan itu masih ‘kepunyaan’ parti itu dengan meletakkan ahlinya dalam keadaan bersiap sedia menghadapi kemungkinan.

“Kita tidak memandang ringan kepada parti lawan tetapi tidak juga ‘over confident’ kerana percaya ada saingan di Dun ini,” katanya selepas merasmikan Jambori Amal ke-19 Pemuda Pas.

Beliau berkata, beberapa program termasuk jambori itu bukan sahaja bertujuan meraih undi tetapi mengubah persepsi masyarakat terhadap parti itu.

Katanya, jambori empat hari itu turut membabitkan semua kawasan di bahagian Dun Beserah termasuk Berserah, Balok,  Sungai Ular, Chendor,  Cherating dan Indera Mahkota.

“Pemuda Pas kini dalam usaha memasyarakatkan Pas untuk bersama penduduk dalam sesi program kemasyarakatan termasuk pemeriksaan kesihatan, bantuan kepada mereka yang memerlukan dan konvoi amal,” katanya.

Nasarudin selepas itu melepaskan Konvoi Amal yang akan melakukan aktiviti kemasyarakatan dan gotong-royong di beberapa lokasi di Balok dan Chendor.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Amal Pahang, Saharudin Muhammad berkata, program itu bukan termasuk dalam agenda politik semata-mata tetapi memberi peluang kepada Pemuda Pas beramal kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, kira-kira 1,000 ahlinya hadir dari seluruh negara untuk menyertai Jambori Amal itu.

“Atas kesedaran beramal kepada penduduk setempat, semua ahli hadir dengan inisiatif sendiri dan tiada badan khas yang membiayai program ini,” katanya.

Tiada ulasan: