Sabtu, 20 Oktober 2012

PRU13: Jabatan Penerangan sudah bersedia

FREE MALAYSIA TODAY

Jabatan itu telah lama bersedia dan kini melakukan penyelenggaraan bagi memastikan sistem sentiasa dalam keadaan baik untuk digerakkan apabila perlu.

 
 
TAWAU: Jabatan Penerangan Malaysia sudah bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13, baik dari segi tenaga kerja mahupun logistik, kata Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
 Beliau berkata jabatan itu telah lama bersedia dan kini melakukan penyelenggaraan bagi memastikan sistem sentiasa dalam keadaan baik untuk digerakkan apabila perlu.

Persiapan jabatan termasuk penyediaan maklumat yang hendak disebar kepada rakyat serta program komuniti yang dilaksana secara berterusan, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat warga Jabatan Penerangan Sabah dan taklimat isu semasa, di sini hari ini.

Katanya sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawab menyampaikan dasar kerajaan, pihaknya terus meningkatkan aktiviti turun padang bersama masyarakat bagi memastikan rakyat memahami dasar berkenaan termasuk Belanjawan 2013.

Antara perkara yang diberi fokus ialah penjelasan berkaitan pelbagai bantuan kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia, Tayar 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia, katanya.

Ibrahim berkata menjadi tanggungjawab pegawai jabatan itu untuk menterjemahkan dasar kerajaan kepada bentuk yang mudah difahami golongan sasar.

Mengenai kefahaman akar umbi berhubung dasar transformasi kerajaan, Ibrahim berkata berdasarkan maklum balas yang diterima, kefahaman rakyat berada pada tahap amat tinggi.

Katanya kajian yang dijalankan mendapati penghayatan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia serta penerimaan mereka kepada pelbagai program dan dasar yang dilaksana begitu baik.

Bagaimanapun beliau menegaskan rakyat perlu diberi penjelasan berterusan oleh semua agensi kerajaan kerana ada pihak tertentu suka memutar belit fakta untuk mengelirukan rakyat.

Mengenai pusat media bagi wartawan yang bertugas pada pilihan raya akan datang, Ibrahim berkata setiap Pejabat Penerangan negeri akan menyediakan kemudahan seperti komputer dan  alat telekomunikasi bagi memudahkan wartawan melaksanakan tugas. Bernama

Tiada ulasan: