Satu sumber dalaman kerajaan negeri Kedah mendakwa, kerajaan negeri tidak wajar dipersalahkan berhubung projek penyelenggaraan rumah kos rendah yang menelan kos RM2.55 juta seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011

Pegawai yang enggan namanya disiarkan itu mengakui bahawa penyelenggaraan berkenaan, seperti dinyatakan dalam laporan ketua audit, sememangnya dibuat untuk rumah yang tidak wujud.

Namun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana tidak dimaklumkan mengenainya sebelum ini.
Dakwanya, pegawai yang bertanggungjawab ke atas perkara itu tidak membincangkannya dengan exco kerajaan negeri.

NONESumber mendakwa, pegawai yang dimaksudkannya itu ialah bekas pengarah urusan Permodalan Kedah Berhad (PKB) Abdul Rahman Mohd Saad yang kini masih bertugas di pejabat setiausaha kerajaan negeri.

"Tak ada siapa yang boleh jawab isu ini. Dia sahaja yang boleh jawab," katanya.

NONEBeliau berkata lagi, kerajaan negeri akan akan menyerahkan isu itu untuk siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita serah pada polis, SPRM dan pihak bertanggungjawab untuk siasat isu ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika dihubungi pula enggan memberi kebenaran kepada Malaysiakini untuk menyiarkan kenyataannya bagi mengulas dakwaan terbabit.

Laporan berkenaan, yang dilaporkan Malaysiakini pada hari Rabu lalu menyebut, kerajaan Kedah membayar kontraktor untuk kerja pembaikan rumah kos rendah yang tidak wujud.

Semakan audit turut mendapati lima kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan berjumlah RM2.55 juta pada tahun 2010 dan 2011 di dua Program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Taman Seri Gemilang dan Flat Seberang Terus serta lima PAKR lain tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Menurut laporan itu  lagi, pengarah bagi lima syarikat kontraktor tersebut mempunyai hubungan antara satu sama lain serta satu daripada lima kontraktor tersebut tidak wujud dalam rekod pendaftaran syarikat.