Khamis, 18 Oktober 2012

Pengerang: Pakatan Rakyat tidak kompromi

Muhammad Faizal,
 
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayud menegaskan Pakatan Rakyat tidak akan berkompromi dan terus membantah jika syarikat CPC Corporation berpangkalan di Taiwan yang telah ditolak oleh Kerajaan Taiwan dilantik oleh Kerajaan Malaysia bagi pembangunan projek Rapid di Pengerang.

Beliau yang merujuk satu laporan akhbar bertarikh 15 Oktober yang lepas mengatakan CPC Corporation akan menjalankan pembinaan kompleks Petrokimia 'Petrochemical' yang bernilai RM35 bilion.

"Saya ingin mendapat penjelasan dari pihak kerajaan, khususnya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) berhubung dengan syarikat ini adakah ia merupakan syarikat yang sama telah ditolak dan tidak mengizinkan sebarang aktivitinya di Taiwan.

"Adakah ia juga merupakan syarikat yang sama pernah mengemukakan satu kertas cadangan di Selangor tetapi turut di tolak oleh Kerajaan Selangor juga alasan yang sama sebelum ini," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen, tengah hari tadi.

Tambahnya lagi, Pakatan Rakyat dan juga Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) akan terus membuat bantahan jika benar CPC Corporation tersebut itu merupakan syarikat sama yang telah menyebabkan kesan alam sekitar yang amat teruk kepada rakyat Taiwan.

"Saya sekali menegaskan kita tidak pernah menolak sebarang pembangunan tetapi aspek keselamatan alam sekitar perlu diambil kira dan kenapa perlu kita melantik sebuah syarikat yang telah ditolak aktiviti mereka di Taiwan.

"Jangan hanya memikirkan sebuah pelaburan yang besar tetapi aspek masa depan penduduk di Pengerang dan juga rakyat yang akan datang perlu difikirkan juga," tegas beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian juga akan menbangkitkan isu perlantikan syarikat tersebut di peringkat Jawatankuasa Parlimen bagi mendapat penjelasan dari kementerian KeTTHA.

Menurutnya lagi, jika kerajaan mengesahkan bahawa ia merupakan syarikat yang sama, Mantap mahupun Pakatan Rakyat tidak akan membenarkan syarikat tersebut meneruskan pembangunan projek Rapid dan juga apa-apa projek di negara ini.

Tiada ulasan: