Rabu, 3 Oktober 2012

Pendedahan kes Scorpene gugat Umno BN – Suaram

Oleh Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR : Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel berkata, tekanan Umno BN kepada NGO hak asasi itu berpunca daripada pendedahan skandal urus niaga Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

“Apakah yang anda fikir mengenai ‘serangan’ terhadap Suaram masa ini?” soalnya sambil disambut jawapan “Scorpene” oleh kira-kira 100 hadirin.



“Scorpene? Anda fikir begitu? Ya!” jawab Cynthia pada forum ‘Who is in the spotlight? Suaram or Scorpene’ di Petaling Jaya malam tadi.

Forum tersebut memfokuskan motif serangan Umno BN terhadap NGO tersebut kebelakangan ini.

Turut serta peguam Suaram, Fadiah Nadwa Fikri; Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez, peguam Tommy Thomas dan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga.

Kos operasi Suaram hanya RM450,000 setahun

Cynthia menjelaskan, NGO itu hanya membelanjakan RM450,000 untuk kos operasi setahun.

Menurutnya, dana tersebut diguna untuk menjalankan beberapa kempen hak asasi selain membayar gaji staf Suaram.

“Media propaganda kerajaan mendakwa Suaram menerima dana asing berjuta-juta ringgit yang kononnya bertujuan menjejaskan kestabilan negara.

“Ia tidak tepat sama sekali kerana dalam setahun Suaram hanya membelanjakan kira-kira RM450,000. Adakah ia jumlah yang banyak?

“Ia hanya cukup untuk menjalankan lima kempen dalam setahun dan membayar gaji serendah RM2,500 kepada lapan kakitangan kami. Mereka boleh mendapatkan gaji lima kali ganda, jika bekerja di sektor korporat,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut, Cynthia berkata, dana tersebut dibiayai pihak swasta yang kebanyakannya dari dalam negara, pengutipan dana melalui kempen yang dijalankan selain kempen jualan buku dan barangan.
“Dana diterima dengan tegas tanpa campur tangan penderma,” tegasnya.

Dalam pada itu Cynthia berkata, aktiviti Suaram berlandaskan prinsip yang ditetapkan dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948.

Katanya, Suaram mengkhususkan hak-hak sivil dan politik seperti kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, menubuhkan persatuan, hak untuk perbicaraan yang adil, kebebasan kehakiman, akauntabiliti awam dan demokrasi tulen.

Umno BN makin paranoid terhadap NGO

Sementara itu, Irene berkata, sama seperti Suaram, Tenaganita juga menerima pelbagai tekanan selepas mendedahkan isu penindasan pekerja asing dan rasuah di kalangan penguatkuasa.

Katanya, tekanan itu berlaku apabila pendedahan mengenai sesuatu penyelewengan itu boleh menggugat kerajaan Umno BN.

“Mereka mengalih tumpuan untuk menangkap saya. Sepanjang tempoh itu, SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) menyerbu pejabat kami tiga kali. Mereka mendakwa Tenaganita kononnya menyediakan maklumat kewangan palsu dan akaun yang tidak wajar,” katanya.

Dalam temubual dengan akhbar Jakarta Post 7 Mei lalu, Irene menyifatkan Malaysia tidak selamat untuk pekerja asing, lantaran layanan buruk diterima dari majikan dan penguatkuasa.

Ekoran itu, dua badan bukan kerajaan dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) membuat laporan polis ke atasnya 16 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah kemudian memaklumkan bahawa siasatan dibuat mengikut Akta Hasutan.

Tiada ulasan: