Khamis, 18 Oktober 2012

Pas: 'Tidak ada permohonan Musa Hassan setakat ini'

NURUL AINI MOHAMED ALI

SHAH ALAM - Pas hari ini menafikan khabar angin mengatakan bekas Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Musa Hassan akan menyertai parti itu kerana setakat ini mereka tidak menerima sebarang permohonan keahlian daripada beliau.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas tidak mendengar khabar angin itu dan tidak mengetahui sama sekali berita itu.

“Setakat ini kami tidak terima lagi borang keahlian beliau. Jadi saya tidak boleh komen lanjut,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Beberapa blog dan portal sebelum ini mendakwa ura-ura mengatakan bekas ketua polis negara itu menyertai Pas.

Tambah menguatkan lagi berita, semalam Musa turut menarik balik ke saman beliau ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tak mahu komen mengenai perkara ini. Kalau boleh komen pun, biar kami benar-benar terima borang keahlian, dari situ kami akan nilai semula,” ujar Mustafa.

Mengulas lanjut sama ada Pas sedia menerima Musa jika beliau menghantar borang keahlian, Mustafa mendakwa, “itu terpulang kepada parti.”

“Tidak elok nak cakap sesuatu yang belum tentu terjadi ini, kalau betul-betul ada, baru kita akan nilai,” katanya.

Tiada ulasan: