Sabtu, 20 Oktober 2012

Pakatan mahu Pusat tangguh AES, henti ‘rompak’ duit rakyat

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat menolak alasan kerajaan bagi menjustifikasikan penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, alasan AES perlu diteruskan sebagai tindakan holistik bagi mengurangkan kadar kemalangan maut tidak munasabah dan tidak boleh diterima.

Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN itu berkata, sistem tersebut hanya untuk mengkayakan kroni hasil ‘rompakan’ duit rakyat.

“Kroni-kroni Umno BN meraih keuntungan daripada projek ini. Kita mahu Umno BN melaksanakan sistem ini dengan telus kerana ia melibatkan wang rakyat,” katanya kepada Keadilan Daily.

Beliau berkata, kerajaan memperketatkan undang-undang yang tidak sepatutnya dan ia digubal semata-mata untuk mengaut keuntungan.

 “Kamera dipasang di tempat yang tidak munasabah, seolah-olah sengaja mencari kesalahan rakyat,” tegasnya.

“Seperti di Eropah dan Amerika Syarikat, memandu laju tidak dijadikan asas utama kesalahan,” jelas beliau.
Menurut Abdullah Sani, kutipan lebih 2,000 saman dalam masa dua hari bukti kerajaan sekadar ingin ‘membuat’ duit melalui kutipan saman.

“Ia mencerminkan kerajaan yang tidak prihatin, apatah lagi untuk membela rakyat,” katanya sambil menegaskan pelaksanaan AES perlu ditangguh dan disemak semula.

AES sebabkan kemalangan meningkat di London

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar berkata, alasan bahawa AES perlu diteruskan sebagai tindakan holistik bagi mengurangkan kadar kemalangan maut tidak boleh diterima dan mengecewakan.

Menurut Mahfuz, terdapat satu kajian yang dibuat menunjukkan kadar kemalangan di bandar yang menggunakan kamera AES lebih tinggi berbanding bandar yang tidak menggunakannya.

Kajian yang dibuat sekumpulan masyarakat awam pembayar cukai di London itu mengkaji kadar kemalangan terhadap 1,000 kenderaan berdaftar di beberapa bandar yang menggunakan AES dan tidak menggunakan AES.

Kajian mereka mendapati kadar kemalangan di bandar London yang menggunakan kamera AES adalah 90.9.

Swindon, bandar kurang kemalangan tanpa AES

Sebaliknya, sebuah lagi bandar – Swindon di United Kingdom (UK) yang telah memansuhkan kamera AES pada 2009 hanya merekodkan kadar kemalangannya 2.0.

“Malah London menjadi bandar kedua paling teruk di UK dari segi kemalangan kerana faktor jalannya terlalu teruk,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu pada sidang media di Parlimen sambil menambah AES di UK diletakkan di bawah kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mahfuz turut memberi contoh di Jerman terdapat lebuh raya ‘autobahns’ di mana tiada sekatan terhadap kelajuan kepada pengguna, tetapi mengenakan penalti kepada pengguna yang memandu di bawah had minimum.

“Bukan soal kelajuan yang menjadi punca. Kalau bawa perlahan pun tetapi salah lorong boleh membawa kemalangan juga. Alasan itu tak boleh diterima.

“Sebab itu kita mintak kerajaan tangguh dulu penguatkuasaan AES ini dan runding dahulu dengan semua pihak,” katanya, dipetik Harakah Daily.

Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, kerajaan tidak berhasrat memansuhkan pemasangan kamera AES di 831 lokasi di seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu akan diteruskan kerana kerajaan melihat AES sebagai tindakan holistik bagi mengurangkan kadar kemalangan maut, sekaligus merealisasikan hasrat murni kerajaan untuk membela majoriti rakyat.

Sistem itu yang beroperasi pada fasa percubaan sejak 23 September lepas telah merekodkan sebanyak 63,558 imej kesalahan lalu lintas dirakam di seluruh negara.

Tiada ulasan: