Oleh Mohd Martin Kahar
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (Pakatan) berhasrat membelanjakan sehingga RM4.5 bilion peruntukan dalam Belanjawan 2013 untuk program memberdaya wanita dan ia merupakan 10 kali ganda lebih daripada apa yang ditawarkan oleh Umno BN.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut merangkumi Caruman Wanita Nasional (SCWN) yang menelan kos RM3 bilion dan Skim Elaun Penjagaan Anak (SEPA) melibatkan peruntukan RM940 juta setahun.
Menerusi SCWN, Wan Azizah berkata, Pakatan berhasrat memberikan caruman sebanyak RM600 setahun kepada suri rumah sebagai persediaan keselamatan sosial termasuk kematian suami, penceraian atau kurang upaya.
“Suri rumah boleh mengeluarkan caruman pada bila-bila masa sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Jika tidak, caruman itu boleh disimpan dan boleh dikeluarkan pada usia 50 tahun dengan simpanan sebanyak RM30,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Wanita, Rodziah Ismail dan Biro Pelaburan dan Perdagangan, Wong Chen.
Bagi peruntukan SEPA pula, Rodziah berkata, ia diperkenalkan untuk menolong wanita bekerja yang pendapatannya kurang RM1,000.
Menurut beliau, setiap kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun akan diberikan RM1,000 setahun dan ia terhad kepada dua orang anak setiap keluarga.
Katanya, peruntukan itu bertujuan membantu ibu yang bekerja untuk membayar yuran pengasuh ketika sedang bekerja.
Tambah Rodziah, terdapat kira-kira 470,000 isi rumah miskin yang layak menerima bantuan skim tersebut yang akan menelan belanja kira-kira RM940 juta setahun.
“Walaupun skim ini mahal, namun ia mempunyai sasaran ekonomi untuk menggalakkan lebih ramai wanita bekerja,” katanya.
Sementara itu, Chen berkata, peruntukan dalam Bajet BN terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencatatkan penurunan setiap tahun dan ia berlaku sejak 2010.
Menurutnya, pada tahun 2010, KPWKM diperuntukkan RM2.4 juta setahun dan jumlah tersebut kemudiannya menurun kepada RM2 bilion pada 2011, RM1.9 bilion (2012) dan RM1.8 bilion (2013).
“Belanjawan tahun ini adalah belanjawan terbesar iaitu RM251.6 bilion. Ia merupakan peningkatan sebanyak lapan peratus berbanding tahun lalu.
“Apa yang mendukacitakan, pada tahun ini Umno BN memperuntukkan hanya 0.2 peratus daripada belanjawan keseluruhan untuk program memberdaya wanita,” kata Chen merujuk jumlah RM450 juta oleh Umno BN dalam Bajet 2013 untuk wanita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan