Sabtu, 20 Oktober 2012

Orang Asli ditahan perjuang hak tanah mereka

 
Penahanan dibuat selepas mesyarat Exco Pahang memutuskan untuk pindahkan masyarakat Asli dari kawasan pembangunan Koridor Pembangunan Wilayah Timur. 



PETALING JAYA: Dua Orang Asli ditahan semalam selepas mesyuarat Exco Pahang memutuskan untuk memindahkan Orang Asli dari kawasan yang dikenal pasti untuk tujuan pembangunan.

Keputusan tersebut dibuat berikutan himpunan 500 Orang Asli dari Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP) yang berhimpun pada hari Rabu menuntut hak tanah adat di hadapan pejabat Menteri Besar Pahang Datuk Sri Adnan Yaakob.

Bagaimanapun, keesokan harinya dua Orang Asli – On Kon  30, dan Musa Lateh 40 dari Kampung Tanam Rompin ditahan oleh polis dari Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Rompin di atas tuduhan mengganggu pekerja kontrak Koridor Pembangunan Wilayah Timur (ECER).

Menurut mereka berdua, pihak polis berniat menahan seorang Orang Asli lain, Moriol Libak, tetapi tidak dikesan dan menahan mereka berdua sebagai ganti.

Moriol merupakan antara anggota Orang Asli yang kehilangan tanah akibat daripada projek pembangunan ECER.

`Dua kesalahan’


Ekoran penahanan On dan Musa, satu perhimpunan dibuat oleh masyarakat Orang Asli di hadapan IPD. Kedua -dua mereka kemudiannya dibebaskan semalam.

Menurut peguam mereka Mohd Fadzly Mohd Ramly, On dan Musa dikehendaki melaporkan diri di IPD Rompin dalam tempoh sebulan namun tidak menghadapi sebarang dakwaan.

 

“Kalau mereka nak dakwa cuma sekarang ini mereka di tuduh di bawah dua kesalahan. Kesalahan pertama ialah mendatangkan ancaman jenayah.

“Kesalahan yang kedua ialah menceroboh tanah kerajaan. Sepatutnya mereka (pemaju) yang didakwa kerana menceroboh tanah Orang Asli,” kata Fadzly.

Tanah masyarakat orang Asli mula diambil sejak tahun 2010 setelah projek ECER dimulakan.

Bagaimanapun tanah tersebut tidak digazetkan sebagai tanah adat Orang Asli.

Tiada ulasan: