Ahad, 14 Oktober 2012

Najib: PRU13 boleh diadakan bila-bila masa

SINAR HARIAN

Najib: PRU13 boleh diadakan bila-bila masa
Najib Tun Razak diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (kiri) ketika merasmikan jambatan baru di Kampung Inobong, Penampang hari ini. - Foto Bernama
 
PENAMPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) boleh diadakan bila-bila masa kerana rakyat sudah yakin janji yang dibuat akan dilaksanakan.

"Ini sebab bila kita umum BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) rakyat yakin kita akan bayar tahun depan. Kita boleh buat pilihan raya bila-bila masa sahaja kerana rakyat dah yakin janji kita tunai... kadang-kadang lambat sedikit tetapi lambat laun kita akan laksanakannya," jelasnya.

Najib, Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri dan perasmian jambatan Inobong di Padang Pagansakan, Inobong, dekat sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan BR1M 2.0 ketika membentangkan Bajet 2013 pada 28 September lalu.

Presiden Umno ini berkata, kunjungannya ke Sabah adalah untuk menepati janji dan memperkukuhkan komitmen bagi membela nasib rakyat dan negeri itu.

"Seorang pemimpin tahu merasai denyutan dan nadi rakyat dan kita mesti tahu apa aspriasi rakyat. Kita tidak boleh jadi pemimpin besar kalau hanya petah bercakap seperti orang jual ubat di tepi jalan," katanya.

Beliau turut menyarankan agar satu kajian komprehensif dibuat bagi menentukan masa depan sistem kehakiman anak negeri Sabah.

"Kita mahu sistem ini dibangunkan dan diolah dengan baik supaya system mahkamah anak negeri ini tidak dilihat sebagai 'ala kampung' sebaliknya kita mahu tingkatkan asas keilmuan dan kedudukan.

"Jadi saya minta yang pakar dalam bidang ini memberi pandangan dan cadangan agar sistem anak negeri terus relevan pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kivoupo, pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Pagansakan dan penubuhan Pusat Permata di Penampang. - Bernama

Tiada ulasan: