Selasa, 23 Oktober 2012

Naik harga rokok, kerajaan seperti lintah darat – Abdullah Sani

Oleh Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR : Kenaikan harga rokok saban tahun oleh kerajaan diibarat seperti lintah darat yang menghisap ‘darah’ rakyat demi meraih keuntungan, kata Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Kata beliau, kerajaan tidak ikhlas membantu rakyat sebaliknya ‘meratah’ hasil rakyat melalui kenaikan harga rokok.

“Kerajaan tidak ikhlas untuk menurunkan tabiat merokok. Sebaliknya, niat utama adalah meraih keuntungan dengan menekan golongan perokok tegar.

“Berapa tinggi sekalipun kerajaan naikkan harga rokok, mereka tahu perokok tetap akan membelinya,” kata Abdullah ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN itu berkata, kempen kerajaan untuk mengurangkan tabiat merokok juga tidak seiring dengan pelaksanaannya.

Abdullah berkata, kerajaan seolah-olah bermain wayang dalam sibuk-sibuk berkempen, tetapi tetap menjual rokok secara berleluasa.

“Ia ibarat pengedar dadah yang menasihatkan orang lain supaya jangan menagih dadah, tetapi dalam masa sama membekalkan dadah kepada penagih,” sinisnya.

Beliau mencabar kerajaan mengharamkan penjualan rokok jika benar ikhlas mahu membantu rakyat mengurangkan tabiat merokok.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyokong usaha kerajaan mahu mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat, namun mesti ikhlas dan tidak menjadikan perokok tegar sebagai mangsa.

“Menaikkan (harga) rokok dengan niat meraih keuntungan daripada perokok tegar bermakna kerajaan menjadikan golongan ini sebagai mangsa.

“Golongan ini sepatutnya dibimbing supaya meninggalkan tabiat merokok, bukan dijadikan mangsa untuk meraih keuntungan,” tegas Setiausaha Agung KEADILAN itu lagi.

British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) mengumumkan peningkatan 20 sen kepada harga semua rokoknya mulai hari ini.

Tiada ulasan: