Khamis, 4 Oktober 2012

Mohon Perkenaan Sultan Adakan Sidang Khas DNS




SHAH ALAM : Kerajaan Negeri berhasrat mengadakan sidang khas Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi membincangkan tiga perkara penting iaitu kertas putih hutang Talam Corporation Berhad, hasil pelaksanaan Selangorku Bersih dan isu penyusunan semula industri perkhidmatan air.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau mengemukakan hasrat tersebut kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memohon perkenan Baginda.

Sidang khas berkenaan adalah bagi membolehkan Kerajaan Negeri membentangkan ketiga-tiga isu itu secara terperinci di samping memberi peluang kepada rakyat Selangor mendapat maklumat dengan jelas dan tepat.

“Kertas putih Talam disiapkan dan saya akan bentang untuk menerangkan secara terperinci kaedah pengutipan hutang yang digunapakai serta transaksi yang dilakukan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang akhirnya mengutip kesemua hutang berjumlah RM392 juta.

“Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat meluluskan kertas putih ini yang akan diserahkan kepada Pejabat Dewan Negeri Selangor pada Isnin depan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini.

Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan membangkitkan laporan di bawah program Pendemokrasian yang menemui sejumlah 110,000 nama pengundi diragui dan gagal dikesan sehingga kini.

Katanya, nama-nama itu didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menerusi sidang khas itu, Kerajaan Negeri akan membentangkan usaha-usaha yang dilakukan untuk mengenalpasti kesemua nama yang meragukan itu dengan melibatkan ketua komuniti di kawasan berkenaan. Ahli dewan kerajaan mahupun pembangkang boleh beri cadangan untuk selesai masalah ini.

“Begitu juga dengan isu penyusunan semula perkhidmatan industri air yang berlanjutan kerana sikap berdolak dalih Kerajaan Pusat.

“Semua surat menyurat dan fail antara Kerajaan Negeri dan Pusat sejak 2008 akan dibentangkan sebagai bukti komitmen kita,” katanya lagi.

Beliau berkata, sekiranya hasrat tersebut mendapat perkenan Tuanku Sultan, Kerajaan Negeri menjangkakan akan mengadakan sidang khas itu dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Tiada ulasan: