Rabu, 17 Oktober 2012

Mengapa lewat edar LKAN?

 
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyatakan laporan ini lengkap di dalam bulan Julai dan yakin bahawa kelewatan tersebut bukan kerana Jabatan Audit Negara. 



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail dari PKR menyoal kelewatan dalam pengedaran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) meskipun laporan tersebut disahkan seawal 12 Jun.

Beliau menunjukkan Laporan Ketua Audit Negara yang ditandatangani Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Laporan tersebut hanya dikeluarkan pada hari Isnin lalu.

“Ia sudah lengkap pada 25 Julai maka tak perlu kata audit tak lengkap. Kelambatan selama sebulan ini bukan kerana audit.

“Saya yakin ada perkara lain yang menyebabkan kelewatan tersebut,” kata Azan dalam sidang media di Parlimen.

Isu utama tidak dinyatakan

Beliau menambah bahawa kelewatan ini hanya melambatkan penelitian ahli Parlimen dalam sesi debat.

Pada hari Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan bahawa edaran LKAN dilambatkan agar tumpuan ahli Parlimen akan tertumpu terhadap belanjawan.

Azan juga tidak menolak kemungkinan berlakunya audit buat kali kedua kerana isu – isu utama yang berlaku tahun lepas tidak dinyatakan di dalam LKAN.




“Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga menyatakan fokus utama perkara -perkara seperti Pusat Fidlot Kebangsaan, kontrak perolehan tentera, perolehan Keretapi Tanah Melayu Berhad, projek perumahan rakyat termiskin dan rasionalisasi subsidi tiada di dalam laporan ini.”

Beliau turut menyatakan kebimbangan beliau berikutan hasil LKAN yang menyatakan 68.9 peratus daripada agensi dan jabatan kerajaan peringkat persekutuan mengingkari prosedur  pentadbiran kewangan kementerian.

“Inilah antara punca kelambatan kerana tidak mahu teguran audit diketahui lebih awal,” kata Azan.
Beliau turut menyoal mengapa Nazri  menjawab soalan berkaitan dengan Jabatan Audit Negara yang terletak di bawah Kementerian Kewangan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada ulasan: