Sabtu, 20 Oktober 2012

LKAN 2011: PM perlu nasihati Soi Lek

 
Presiden MCA menganggap laporan itu tidak memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap BN. 



PETALING JAYA: DAP menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya tidak memperlekeh penemuan-penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011.

Malahan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat mengkritik Dr Chua kerana mempersenda laporan itu semalam kerana menganggap laporan itu tidak memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Dr Chua dilaporkan berkata jika LKAN memberi kesan maka kerajaan BN akan tumbang setiap tahun laporan itu diterbitkan, demikian menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya.

“Isu utama yang didedahkan oleh Ketua Audit dalam laporannya ialah berkaitan dengan kontrak mega kerajaan dan kontrak yang diberi secara runding terus yang menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan pusat,” terang Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, projek mega yang paling ketara ialah projek runding terus landasan keretapi elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.49 bilion yang tergendala hingga menyebabkan kos tambahan terpaksa ditanggung sebanyak RM3.6 bilion.

Contoh lain kata Lim ialah pembelian 1,000 rak brosur bernilai RM1.95 juta untuk Tahun Melawat Malaysia 2007.  Pembelian dibuat melalui rundingan terus oleh Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia tanpa kelulusan dari Kementerian Kewangan.

Selain itu katanya, kos pembinaan kuarters keluarga tentera yang dibina Kementerian Pertahanan meningkat sekali ganda kepada RM3.2 bilion dengan kecacatan ketara seperti bumbung runtuh dan paip air bocor.

“Pendedahan terbaru ialah mengenai laporan Ketua Audit di Sarawak di mana syarikat milik kerajaan negeri, Sarawak Coal Resources Sdn Bhd menganugerah kontrak untuk menggali dan menghantar arang batu di Mukah bernilai RM923.03 juta menerusi rundingan terus.

“Presiden Transparency-International Malaysia Datuk Paul Low turut mengakui bahawa pemberian kontrak melalui sistem rundingan terus menggalakkan rasuah kerana tidak ada persaingan,” terangnya.

Lim berkata, isu kedua berhubung dengan pelupusan hutang kerajaan pusat yang ditanggung Perwaja Terengganu Sdn Bhd yang tidak dibayar sejak 14 hingga 17 tahun yang lalu berjumlah RM1,626 juta.

Isu ketiga berkenaan pelepasan yuran lesen diberi kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bernilai RM1,371 juta yang dikenakan kerana melanggar syarat Jabatan Alam Sekitar dalam usaha menghapuskan sisa toksik, katanya.

“Jika ketiga-ketiga isu penting ini tidak ditangani, maka jelas BN menerima pakai sikap Dr Chua yang tidak mengendahkan laporan negatif dalam LKAN 2011.

“Hanya dengan menukar kerajaan sahajalah maka kita dapat memelihara nilai integriti, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam urus tadbir kerajaan,” ujar Lim.

Tiada ulasan: