Khamis, 25 Oktober 2012

Lima aset komersil kekal milik PKNS

 
PKNS sekarang ini sedang dalam proses menyelaraskan aktiviti-aktiviti teras Kumpulannya.



PETALING JAYA: Lima aset komersil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu SACC Mall, Shah Alam; Menara PKNS, Petaling Jaya; Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi, serta Wisma Yakin, Kuala Lumpur masih kekal milik PKNS.

Timbalan Pengurus Besar (Korporat) PKNS, Datin Paduka Hajah Norazlina Zakaria, dalam satu kenyataan media hari ini berkata, PKNS sekarang ini sedang dalam proses menyelaraskan aktiviti-aktiviti teras Kumpulannya.

“Salah satu daripada inisiatif korporat yang sedang dilaksanakan adalah penubuhan sebuah syarikat milik penuh PKNS, Private Real Estate Company (PREC), yang akan memfokuskan kepada pelaburan dan pengurusan hartanah,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai menepati tadbir urus korporat yang telus, penubuhan anak syarikat ini (PREC) dan pindah milik aset -aset komersil PKNS kepada PREC telah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Kewangan dan Lembaga Pengarah PKNS yang turut diwakili oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.

“Pihak Kementerian Kewangan juga telah memberikan kelulusan bertulis bagi maksud di atas,” terang beliau.

Pada masa yang sama katanya, PKNS ingin mengesahkan pelaburannya di dalam saham Genting Sanyen Power Sdn Bhd dan KESAS Bhd masih kekal.

“Namun begitu, PKNS akan senantiasa menilai portfolio pelaburan dari masa ke semasa dan bersedia mempertimbangkan sebarang tawaran yang memberikan pulangan yang munasabah kepada PKNS,” jelas Norazlina.

Semalam Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar mencabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar menafikan dakwaan bahawa Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah bersetuju menjual lima aset bangunan milik PKNS.

“Saya mahu Menteri Besar Selangor tampil ke depan dan menafikan dakwaan bahawa lima bangunan PKNS akan dijual,” kata Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu sidang media di lobi Parlimen.

Tiada ulasan: