Ahad, 7 Oktober 2012

Kutipan Hutang Talam Dikembali Untuk Pembangunan Rakyat




BESTARI JAYA : Dataran Anak Muda baru di Ijok yang dilancarkan hari ini adalah contoh bagaimana hutang yang dikutip oleh Kerajaan Selangor daripada Syarikat Talam Corporation dikembalikan semula kepada rakyat.

Dataran Anak Muda Ijok yang memuatkan gelanggang bola keranjang dan futsal dan dibina dengan kos RM200,000 itu dibiayai daripada peruntukkan RM 20 juta Geran Selangorku untuk kemudahan generasi muda.

“Kita dapat kutip wang ini, walaupun ramai orang memberikan komen kenapa saya mengutip hutang.
“Jawapan saya ialah ia duit rakyat maka saya mesti mengutip hutang itu.

“Sebab Menteri Besar bukan tugasnya memberikan hutang tetapi adalah tugasnya mengutip hutang dan menjaga duit rakyat,” kata Abdul Khalid dalam ucapannya semasa merasmikan Dataran Anak Muda Ijok.

Abdul Khalid berkata, pembinaan Dataran Anak Muda itu menelan kos kira-kira RM200,000 tetapi jika ia dilaksanakan oleh Kerajaan Umno-BN kosnya boleh melambung kepada RM 700,000 hingga RM 1 juta.

Ujarnya, kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada ‘value for money’ dalam melaksanakan projek serta membuat pemantauan teliti bagi mengelakkan ketirisan dalam pengurusan kewangan.
“Hari ini kita melihat duit itu bukan daripada pinjaman dan bukan datang daripada kerajaan pusat, jadi ia adalah duit hak rakyat.

“Aset-aset ini kita kena urus dan jaga dengan baik,” kata Abdul Khalid.



Selepas Dataran Anak Muda, kerajaan negeri akan melaksanakan aktiviti pembangunan generasi muda yang lebih bermanfaat seperti kiosk untuk aktiviti keusahawanan generasi muda dan menyediakan kemudahan internet wifi percuma.

“Jadi, saya meminta pihak berkuasa tempatan agar dapat memberikan peluang kepada semua untuk menikmati kemudahan ini, dan saya akan sediakan peruntukkan untuk penjagaan dataran ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi, berharap Penggerak Belia Tempatan (Pebt) akan mengadakan aktiviti sukan bagi memanfaatkan gelanggang tersebut.

Turut hadir dalam majlis itu, MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Datuk Misri Idris.
Kira-kira 300 belia dan remaja hadir dalam majlis itu yang turut diadakan kejohanan Futsal dan pertandingan motor klasik berhias.

Tiada ulasan: