Sabtu, 20 Oktober 2012

Kewangan S’ngor membanggakan, pelaburan naik RM1.55 bilion

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Prestasi kewangan Selangor membanggakan apabila hasil wang pelaburan yang diperoleh pada 2011 meningkat sebanyak RM1.55 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian ini sekaligus mengekalkan peningkatan wang pelaburan negeri itu bagi tahun kelima berturut-turut.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpuas hati dengan prestasi itu yang diyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011.

“Kenaikan pelaburan pada tahun lalu sebanyak RM1.55 bilion berbanding tahun sebelumnya, RM928,61 juta.



“Ini merupakan peningkatan berterusan untuk tahun kelima berturut-turut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco di Shah Alam semalam.

Mengikut LKAN, Khalid berkata, Selangor turut mencatatkan kejayaan dalam beberapa aspek.
“Ia meliputi peningkatan hasil sebanyak RM62.5 juta dari RM1.571 bilion pada 2010 kepada RM1.634 bilion pada 2011.

“Kumpulan wang disatukan naik kepada RM1.944 bilion dari RM1.58 bilion pada 2010,” kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.

Selanjutnya, beliau berkata, kerajaan negeri turut menerima pujian dari segi peningkatan hasil wang simpanan.

“Kedudukan kewangan yang baik dengan peningkatan dari segi wang simpanan, hasil pelaburan dan pengurusan kewangan.

“Sembilan daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lima badan berkanun mencatat untung. Pembayaran hutang awam sangat baik. Projek pembangunan juga sangat baik dari segi perbelanjaan dan bilangan projek lulus,” jelasnya.

Tiada ulasan: